Terletak di sebelah restorannya di Kampong Gelam, kedai kopi No Strangers Here (NSH) ialah perniagaan terkini oleh Cef Akmal Anuar.
Cef Akmal membuka restoran pertamanya di Singapura, Harummanis di 37 Sultan Gate pada November 2023 dan No Strangers Here pada Ogos 2024.
Menggabungkan suasana kedai kopi yang sibuk seiring persekitaran santai, NSH cepat menjadi destinasi kegemaran pelanggan yang mencari kopi di kawasan Arab Street atau Kampong Gelam.
Dengan pelbagai kopi yang melebihi tawaran biasa, ia bukan sahaja tempat untuk menikmati secawan kopi bahkan untuk duduk dan berinteraksi dalam suasana santai.
Cef Akmal, penerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2024, berkongsi inspirasi di sebalik pembukaan NSH semasa diwawancara Kaki Makan.
“Kami mempunyai ruang kecil di sebelah Harummanis yang tidak digunakan sepenuhnya.
“Saya fikir, mengapa tidak mencipta konsep kopi yang kecil dan santai? Hari ini, kedai kopi bukan hanya mengenai kopi, ia membawa suasana ruang sosial.
“Sesuai dengan namanya, No Strangers Here adalah tentang mewujudkan ruang yang menarik dan mesra.
“Ruang itu sempit dan semua orang melihat satu sama lain. Ia adalah tempat sesuai untuk bertemu dan bergaul,” kongsi Cef Akmal.
Di samping kopi, kafe itu turut menawarkan pastri segar, termasuk kroisan yang bermula pada harga $4 dan kek keju bakar pada harga $11.
Bagi mereka yang ingin pencuci mulut, terdapat juga Espresso Tiramisu berharga $15 dan Softies (aiskrim soft serve) perisa gula melaka dan teh tarik untuk $3.
Sudah tentu, nadi bagi mana-mana jua kedai kopi adalah kopinya dan NSH tidak mengecewakan.
“Kami menyediakan kopi, matcha dan latte ais,” kongsi Cef Akmal.
Salah satu minuman menarik ialah Cempedak Latte yang unik. Ia dibuat dengan buah cempedak dengan sentuhan tempatan.
Cempedak Latte dijual pada harga $7.
Selain itu, kopi yang laris dijual di NSH ialah Spanish Latte yang menggabung manisan karamel dengan kepahitan kopi ($7).
“Atas permintaan khas, kami juga boleh membuat kopi ditapis (filtered coffee). Latte kami unik, dan ia mencerminkan tumpuan kami pada mutu kopi,” tambahnya.
Menyentuh tentang biji kopi di NSH pula, Cef Akmal, berkata:
“Kami menggunakan biji kopi Brazil sebagai kopi asas kami, dan kami juga membawa masuk biji kopi istimewa dari Ethiopia dari masa ke semasa.
“Setiap perincian penting semasa membuat secawan kopi.
“Daripada mutu biji kopi hingga ketepatan mesin yang kami gunakan, semuanya demi memastikan kesempurnaan,” ujarnya.
Walaupun NSH menawarkan kemudahan grab-and-go, kedai kopi itu bertujuan wujud ‘secara harmoni’ di sebelah Harummanis.
“Tiada strategi khusus di sebalik kedua-dua jenama itu bersebelahan,” kata Cef Akmal.
“Ia lebih kepada menjadikan ruang lebih unik. NSH adalah pantas dan mudah, manakala Harummanis adalah tempat tetamu duduk dan menikmati pengalaman bersantap yang lengkap.”
Mengenai masa depan, Cef Akmal bercadang mengembangkan NSH.
“Matlamatnya adalah untuk memperkenalkannya di lebih banyak lokasi, trak makanan dan gerai munculan (pop-up)... dan kami berharap dapat melihatnya di lebih banyak tempat tidak lama lagi,” ujarnya.
Alamat: 39 Sultan Gate, Singapura 198487
Waktu Operasi: Selasa hingga Ahad, 12 tengah hari hingga 8 malam
“
Kami menggunakan biji kopi Brazil sebagai kopi asas kami, dan kami juga membawa masuk biji kopi istimewa dari Ethiopia dari masa ke semasa. Setiap perincian penting semasa membuat secawan kopi. Daripada mutu biji kopi hingga ketepatan mesin yang kami gunakan, semuanya demi memastikan kesempurnaan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg