Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hassan Sunny tukar sarung tangan dengan kayu gendang sempena rancangan amal

Jun 3, 2025 | 7:02 PM
Hassan Sunny, SHF
Bekas penjaga gawang pasukan bola sepak Singapura, yang kini duta Yayasan Jantung Singapura (SHF), Hassan Sunny, berkongsi bagaimana amalan gaya hidup sihat beliau, walaupun sudah semakin berusia, dapat membantu mencegah penyakit kardiovascular. Beliau merupakan antara peserta dalam rancangan amal sempena ulang tahun ke-55 SHF yang akan disiarkan pada 29 Jun. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bekas penjaga gawang pasukan bola sepak Singapura, Hassan Sunny, bakal tampil beraksi dalam peranan yang cukup berbeza – kali ini bukan di padang, tetapi atas pentas dengan membuat persembahan bermain gendang Cina.

Hassan, yang kini duta Yayasan Jantung Singapura (SHF), akan membuat persembahan khas dalam rancangan amal sempena ulang tahun ke-55 SHF, yang diberi nama The Resilient Hearts – Singapore Heart Foundation 55th Anniversary Charity Show.

Rancangan itu akan disiarkan pada 29 Jun, dari 7 hingga 10 malam, di Saluran 8 Mediacorp dan juga dalam talian menerusi aplikasi meWATCH.

Acara tersebut bukan sahaja meraikan ketabahan pesakit jantung dan sukarelawan SHF, tetapi juga bertujuan mengumpul dana bagi membangunkan Pusat Kesihatan Jantung keempat SHF di kawasan timur Singapura.

Sebagai duta SHF, Hassan berkata beliau terdorong untuk menyertai acara itu setelah mengetahui bahawa Presiden Tharman Shanmugaratnam, selaku penaung SHF, akan hadir sebagai tetamu terhormat.

Semasa ditemui pada 3 Jun, Hassan mengakui beliau tidak mahir dalam seni muzik apatah lagi bermain alat muzik.

Namun, setelah mencuba beberapa alat muzik di Wisma Geylang Serai, gendang Cina menjadi pilihannya.

“Mungkin sebab saya berbadan besar, jadi bunyinya pun padu, sebab saya dapat menggendangkannya dengan baik,” kata beliau, yang mempunyai ketinggian 1.85 meter.

“Setakat ini, saya sudah menghadiri tiga kelas latihan. Esok (4 Jun) merupakan sesi rakaman, memang rasa gementar, tapi seronok!

“Ini kali pertama saya buat persembahan muzik secara langsung – biasanya saya hanya ‘beraksi’ di stadium,” katanya.

Selain Hassan, acara itu turut menampilkan artis terkenal tempatan serta luar negara seperti Chen Lei dari Taiwan, Kenny Bee dari Hong Kong, serta selebriti tempatan seperti Kym Ng, Guo Liang, dan Zoe Tay.

Penyertaan Hassan membawa makna yang lebih mendalam bagi SHF– sebagai ikon sukan dan pengamal gaya hidup sihat, beliau mampu menyampaikan mesej kesedaran dengan cara yang tulen dan berkesan.

“Saya ada saudara-mara yang menghidap penyakit jantung. Sebelum kempen ini pun, mereka selalu tanya saya bagaimana saya jaga gaya hidup saya.

“Kadangkala semasa Hari Raya, mereka perasan saya tidak makan nasi putih atau tidak makan berlebihan,” kata Hassan.

Sebagai atlet profesional yang masih aktif walaupun sudah berusia lebih 40 tahun, Hassan menekankan kepentingan kekal dalam penjagaan diri.

“Tekad itu penting. Tak perlu susah payah pun – jalan kaki saja sudah cukup. Kadangkala ke gimnasium, kadangkala berlari. Yang penting lakukannya setiap hari.

“Ia juga cara yang baik untuk luangkan masa bersama keluarga. Saya akan berjalan dengan anak-anak dan berbual dengan mereka,” tambahnya.

Di samping kerjaya bola sepaknya, Hassan juga mengusahakan gerai nasi padang, dan beliau sendiri akui cabaran menjaga pemakanan memang besar.

“Saya tahu bukan senang. Yang penting ialah mengawal diri. Kalau saya yang jual nasi padang boleh kawal nafsu makan, orang lain pun boleh,” katanya sambil tertawa.

SHF berharap acara ini akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit kardiovaskular, yang kekal sebagai antara punca utama kematian di Singapura.

Menurut Pengerusi SHF, Profesor Tan Huay Cheem, dianggarkan sekitar 23 pesakit meninggal dunia setiap hari akibat penyakit kardiovaskular.

Mereka yang ingin menderma boleh menonton rancangan tersebut dan mengimbas kod QR di skrin, laman web SHF (https://www.myheart.org.sg/resilient-hearts-2025/) atau hubungi 6321-8655.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg