Ikon bola sepak Singapura, Hassan Sunny, kini melangkah ke dunia fesyen dengan pelancaran jenama pakaiannya sendiri, Has & Co. – akronim nama penuhnya, Hassan Abdullah Sunny.
Dikenali kerana kecemerlangannya di padang, penjaga gol veteran itu menerapkan sentuhan kreatifnya dalam pakaian minimalis, memberi peminat cara baru berhubung dengannya di luar padang.
Bercakap bersama Berita Harian (BH), Hassan berkata memulakan jenama pakaiannya sendiri memang menjadi impiannya dan sokongan peminatnya dari China memberinya motivasi untuk meneruskan idea itu sebagai satu perniagaan.
“Pada mulanya saya tidak pasti jika ada sesiapa yang berminat. Tetapi saya mula memakai baju jenama saya sejak Januari. Mereka yang perasan bertanya di mana saya mendapatkannya, terutama peminat China yang kemudian beri dorongan kuat untuk saya memulakan jenama pakaian sendiri.
“Ini memberi saya keyakinan untuk mencuba suatu perniagaan baru di luar bola sepak dan juga selain perniagaan kedai nasi lemak saya,” ujarnya.
Hassan dianggap wira oleh peminat bola sepak China setelah beliau menyelamatkan 11 percubaan Thailand dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang skuad Singa pada Jun 2024.
Thailand perlu mengalahkan Singapura dengan tiga gol untuk melangkah ke peringkat seterusnya, namun ia hanya menang 3-1 dek kecemerlangan Hassan. Akibatnya, Thailand tersingkir dan China mara.
Koleksi itu menampilkan gabungan pakaian kasual dan ‘athleisure’, termasuk kemeja-T, hoodie, dan topi, semuanya direka dengan estetik moden minimalis.
“Saya bukan jenis yang memakai kemeja-T bercorak, warna-warna terang atau rekaan yang terlalu menonjolkan. Dengan mengekalkan kesederhanaan dan konsep minimal, semua orang, dari golongan muda hingga yang lebih berusia, boleh menghargai gaya jenama ini,” ujar Hassan.
Mengulas lebih lanjut mengenai penceburan perniagaan baru ini, Hassan berkata beliau ingin meneroka pelbagai bidang di luar kerjaya bola sepak.
“Anda tidak akan tahu sehingga anda mencuba. Ini juga adalah antara azam tahun baru 2025 bagi saya, iaitu mencari kemahiran seterusnya,” kata Hassan, sambil menambah bahawa ini adalah peluang untuknya berkembang di luar dunia sukan.
Hassan mula memasarkan jenama pakaiannya itu di media sosial pada 1 Februari.
Beliau turut berkongsi bahawa satu jualan khas jenamanya akan diadakan pada 8 dan 9 Februari di Pusat Konvensyen Suntec City di acara Fomo Weekend Market.
Pilihan saiz pakaian Has & Co. merangkumi dari kanak-kanak berumur satu hingga dua tahun hingga dewasa bersaiz 6XL, pada harga antara $20 hingga $80.
“Saya mahu jenama ini lebih daripada sekadar pakaian. Saya mahu ia menjadi sesuatu yang boleh dipakai dengan yakin. Sama ada anda peminat bola sepak atau sekadar mencari pakaian ringkas dan klasik, ia tentang mengekalkan gaya yang bersih dan ‘effortless’,” tambah Hassan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg