Geylang Serai bukanlah kawasan yang asing bagi masyarakat Melayu/Islam.
Ramai yang mungkin mempunyai pengalaman mengunjungi pasar Geylang Serai pada hujung minggu dan bazar Geylang Serai semasa Ramadan.
Namun, tidak ramai yang tahu tentang kepelbagaian cara dan gaya hidup di kawasan itu.
Sekilas keadaan di kawasan Geylang Serai dapat dihayati menerusi melalui buku komik yang dihasilkan kartunis, Encik Kasim Bachik, bertajuk ‘Geylang Serai–My Town’.
Encik Kasim membesar di kawasan Geylang pada 1970-an.
Beliau mendokumentasikan tentang cara hidup masyarakat bekerja dan bermain sambil menunjukkan kepelbagaian interaksi sosial penduduk di Geylang Serai.
Sesi pelancaran ‘Geylang Serai–My Town’ pada 17 Februari dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga Pengerusi Jalur Budaya Geylang Serai.
Menurut Encik Kasim, beliau mengambil masa hampir lima bulan untuk menyiapkan buku komik itu – dua bulan membuat kajian dan dua bulan lagi melukis kartun.
“Ada banyak yang ingin saya tampilkan dalam buku ini, namun saya harus mempertimbangkan bagaimana ia akan diterima oleh masyarakat,” kongsi Encik Kassim kepada Berita Harian (BH) apabila ditanya tentang cabaran yang beliau lalui.
Termasuk siri lima buku ‘Cerita@Geylang Serai’, buku komik terbaru itu menunjukkan kesan sejarah dan keunikan Geylang Serai, dan memastikan warisannya kekal diingati.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg