Ratusan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan masa menunggu lebih singkat bakal dilancarkan di Sin Ming dan Toa Payoh, dengan pembinaan kediaman baharu berkenaan sedang dijalankan dan dijangka siap menjelang pertengahan 2030.

Sebuah projek 1,076 unit yang akan dilengkapi pusat penjagaan kanak-kanak serta pasar raya kini sedang dibangunkan berhadapan Sin Ming Residences, iaitu satu projek perumahan awam 984 unit yang hampir siap. 

Projek BTO ini terletak di Sin Ming Street, yang merupakan sebahagian daripada kawasan Bishan.

Sementara itu, kerja pembinaan telah bermula di Lorong 4 Toa Payoh, bagi blok Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) setinggi 40 tingkat yang mengandungi 193 unit. 

Ia turut dilengkapi bangunan tempat letak kereta bertingkat bersama taman di bumbung, pavilion serta kemudahan masyarakat lain.

HDB dalam satu kenyataan kepada The Straits Times (ST) berkata tarikh pelancaran dan anggaran masa menunggu bagi flat berkenaan akan diumumkan kemudian.

Perkembangan ini, berserta jangkaan tarikh siap pembinaan, memberi bayangan bahawa kedua-dua projek berkenaan berkemungkinan besar akan mula ditawarkan bagi jualan seawal pertengahan 2027.

Flat BTO dengan masa menunggu lebih singkat mempunyai masa menunggu kurang daripada tiga tahun, dengan kerja pembinaan lazimnya bermula sebelum flat berkenaan dilancarkan untuk jualan supaya pembeli dapat berpindah ke rumah mereka lebih awal.

HDB berkata ia telah giat menambah bekalan flat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Ia turut menyatakan bahawa tapak projek di Sin Ming dan Toa Payoh merupakan tapak ‘brownfield’ – iaitu tapak yang pernah dibangunkan sebelum ini.

“Dalam melaksanakan pembangunan perumahan secara berfasa, HDB secara berperingkat sedang membangunkan semula tapak-tapak kosong atau tapak ‘brownfield’ yang sesuai untuk perumahan terlebih dahulu, sebelum mempertimbangkan tapak lain yang ditetapkan bagi tujuan perumahan,” kata HDB.

Tapak di Sin Ming sebelum ini menempatkan sebuah blok sewa HDB serta beberapa bangunan perindustrian yang kini telah dirobohkan.

Sementara itu, projek di Lorong 4 Toa Payoh pula dibangunkan di tapak tempat letak kereta terbuka yang terletak di antara Blok 62B dengan 66 Lorong 4 Toa Payoh, serta Blok 63 Lorong 5 Toa Payoh.

Apabila ditanya sebab HDB memutuskan untuk membangunkan kediaman di tapak Lorong 4 Toa Payoh memandangkan keluasan kawasan tersebut agak kecil iaitu sekitar 0.78 hektar, serta kedudukannya yang berdekatan dengan rumah sedia ada, HDB berkata:

“Memandangkan tanah kami terhad, kami mesti membangunkan semula kawasan yang boleh dimanfaatkan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah.”

Lembaga itu menyatakan bahawa kawasan Toa Payoh telah dibangunkan secara berperingkat selama bertahun-tahun dan mempunyai tanah terhad untuk pembangunan baharu.

Ia menambah bahawa pembangunan semula tapak ‘brownfield’ yang sesuai seperti tapak lama tempat letak kereta berkenaan membolehkan penyediaan lebih banyak pilihan perumahan di bandar tersebut, termasuk bagi mereka yang berhasrat untuk tinggal berdekatan dengan keluarga masing-masing.