Topik diikuti
Pergi ke BHkuHong Tat: Had pendapatan lebih tinggi mula dikuat kuasa, lebih ramai layak perumahan subsidi
Had pendapatan lebih tinggi bagi pembelian flat baharu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), yang diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR), mula berkuat kuasa pada 24 Ogos.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata langkah itu akan memastikan lapan daripada 10 isi rumah Singapura terus layak mendapatkan perumahan awam bersubsidi.
Menerusi catatan Facebooknya pada 24 Ogos, Encik Chee berkata kenaikan had pendapatan itu membolehkan dasar perumahan awam mengikuti pertumbuhan pendapatan penduduk, sekali gus memastikan ia terus dapat dimanfaatkan sebahagian besar rakyat Singapura.
Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 23 Ogos, had pendapatan bulanan isi rumah bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dinaikkan daripada $14,000 kepada $16,000, manakala bagi pembeli bujang yang layak berusia 35 tahun ke atas, akan meningkat daripada $7,000 kepada $8,000.
Had pendapatan bagi kondominium eksekutif (EC) pula dinaikkan daripada $16,000 kepada $18,000.
Dalam pada itu, keluarga pemohon kali pertama yang mempunyai atau bakal menimang cahaya mata akan diberikan peluang undian tambahan bagi setiap anak warga Singapura berusia 18 tahun dan ke bawah.
Menurut Encik Chee, langkah itu akan dilaksanakan bagi semua permohonan mulai penjualan Februari 2027, termasuk bagi flat Plus dan Prime serta flat di bawah Penjualan Baki Flat (SBF).
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus membina (rumah) dengan lebih banyak dan lebih pantas, di samping melaksanakan perancangan penggunaan tanah secara teliti bagi menyokong keperluan perumahan dan aspirasi pelbagai golongan pembeli rumah, termasuk keluarga, warga emas dan individu bujang,” tambah Encik Chee.
