Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB henti khidmat kontraktor BTO di Punggol kerana ‘tidak memuaskan’

Penangguhan tiga bulan lagi bagi pembeli 991 flat di Punggol Point Cove
Jul 20, 2023 | 6:42 PM
KEMAJUAN TIDAK MEMUASKAN: Tempoh penyelesaian pembinaan lima daripada enam blok flat BTO Punggol Point Cove ditangguh tiga bulan lagi menyusuli penamatan khidmat kontraktor utama.
KEMAJUAN TIDAK MEMUASKAN: Tempoh penyelesaian pembinaan lima daripada enam blok flat BTO Punggol Point Cove ditangguh tiga bulan lagi menyusuli penamatan khidmat kontraktor utama. - Foto ST

Para pembeli bagi 991 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Punggol akan berdepan dengan penangguhan selama tiga bulan lagi, setelah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menamatkan khidmat kontraktor utama projek itu.

Bagi pemilik flat itu, penundaan tersebut berlaku sedang mereka berdepan penangguhan sedia ada.

Khidmat syarikat, CKR Contract Services, kontraktor utama bagi projek BTO Punggol Point Cove, dihentikan disebabkan kemajuan yang “tidak memuaskan” dan kegagalan berulang kali untuk memenuhi sasaran pembinaan yang diperlukan, kata HDB dalam satu e-mel yang dikirim kepada pembeli pada Khamis dan dilihat akhbar The Straits Times (ST).

Ini berlaku walaupun dengan keterlibatan secara kerap dan usaha terbaik HDB untuk memudahkan kemajuan kerja bersama kontraktor, dan pemberhentian itu adalah demi kepentingan pembeli flat, kata lembaga itu yang ditukil ST.

Flat terjejas kini berada dalam fasa kedua projek Punggol Point Cove, yang terdiri daripada 1,179 unit dua bilik fleksi, tiga bilik, empat bilik dan lima bilik secara keseluruhan.

Tarikh persiapan bagi unit itu sudah ditangguh antara enam dengan sembilan bulan disebabkan pandemik Covid-19.

Tempoh selesainya pembinaan bagi lima daripada enam blok itu akan ditangguh lagi selama tiga bulan menyusuli penamatan khidmat kontraktor utama yang terkini itu, kata HDB dalam respons kepada pertanyaan ST.

Flat itu dijangka siap antara suku keempat 2024 dengan suku pertama 2025.

Flat fasa dua itu dilancarkan untuk penjualan pada September 2019. Fasa pertama dilancarkan setahun lebih awal pada Ogos 2018 dan dibina oleh kontraktor utama yang berbeza.

HDB berkata ia dalam proses untuk membawa masuk kontraktor baru pada Ogos ini agar dapat menyelesaikan kerja-kerja selebihnya, tanpa menjejas mutu projek dan keselamatan pekerja.

Walaupun lebih banyak masa diperlukan untuk menyiapkan projek itu, HDB berkata flat fasa kedua itu masih dijangka siap menjelang tarikh penyerahan pemilikan, berdasarkan penilaiannya sekarang.

Tarikh penyerahan pemilikan merupakan tarikh kontrak sah di mana HDB perlu menyerahkan flat kepada pembeli.

Seperti kebanyakan projek BTO yang dilancarkan sebelum Covid-19 melanda, Punggol Point Cove terjejas oleh gangguan teruk disebabkan pandemik koronavirus, kata HDB.

Walaupun HDB telah mampu memenuhi lebih daripada 70 peratus projek BTO yang tertangguh sejauh ini, kemajuan fasa kedua Punggol Point Cove kekal lembap dan dipantau rapi sejak beberapa bulan lalu.

Walaupun pelbagai langkah bantuan diberikan HDB kepada CKR, “kemajuan tapak kekal tidak memuaskan” dan kontraktor utama “gagal berulang kali untuk memenuhi sasaran pembinaan yang diperlukan”, kata HDB.

Agensi perumahan awam itu berkata, ia memantau dengan teliti kontraktor BTO yang mungkin berdepan dengan cabaran dalam mematuhi garis masa projek dan menilai dengan tetap kemampuan kontraktor itu untuk memenuhi pencapaian pembinaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg