Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang mengkaji semula skim yang membolehkan flat tiga bilik atau lebih kecil digabungkan menjadi unit ‘jumbo’, selepas penawaran sebuah flat sedemikian di Telok Blangah pada $2.18 juta.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), HDB menyatakan pihaknya memahami kebimbangan orang ramai mengenai iklan flat itu dan pihak berkuasa bertekad memastikan perumahan awam berpatutan dan mudah diperoleh.

HDB menambah bahawa pihaknya belum menerima permohonan jualan semula flat itu. Penjual dan pembeli perlu mengemukakan permohonan tersebut kepada HDB dan menunggu kelulusannya sebelum jualan boleh diteruskan.

HDB berkata flat di 93B Telok Blangah Street 31, gabungan dua unit tiga bilik, yang disenaraikan pada $2.18 juta, ‘jauh lebih tinggi’ berbanding jualan setanding di kawasan itu.

Flat tiga bilik di kawasan itu dijual antara $673,000 dengan $771,000 sepanjang enam bulan lalu.

Berdasarkan harga tertinggi dalam julat itu, dua flat tiga bilik bernilai sekitar $1.54 juta.

HDB berkata: “Harga yang disenaraikan kini lebih $600,000 atau lebih 40 peratus daripada jumlah ini.

“Jika jualan diteruskan pada harga yang dipersetujui pembeli dan penjual, ia mungkin melibatkan bayaran tunai yang jauh melebihi penilaian HDB.”

Lebihan tunai ialah perbezaan antara harga jualan semula flat dengan penilaian HDB, yang perlu dibayar pembeli secara tunai.

HDB menyatakan skim penggabungan yang diperkenalkan pada 1993 membolehkan pemilik yang layak dan memerlukan ruang lebih luas menggabungkan flat mereka dengan unit bersebelahan menjadi flat lebih besar.

Mereka juga perlu mendapatkan penilaian HDB sama ada struktur unit boleh digabungkan sebelum mengemukakan permohonan pembelian.

Jika diluluskan, kedua-dua unit boleh digabungkan menjadi sebuah flat di bawah satu pajakan dan dijual di pasaran terbuka selepas tempoh penghunian minimum (MOP) lima tahun.

HDB menyatakan pemilik flat Telok Blangah itu membeli unit tiga bilik pertama daripada HDB pada Disember 2017.

Pada Ogos 2021, mereka membeli unit tiga bilik bersebelahan selepas jiran mereka mendapat kelulusan HDB untuk menjual flat itu sebelum tamat MOP atas sebab keluarga.

Ejen hartanah, Encik Thomas Tong daripada PropNex Realty berkata, flat jumbo seluas 1,465 kaki persegi yang diiklankannya itu berhampiran estet perumahan Berlayar yang bakal dibangunkan, sebahagian daripada Greater Southern Waterfront.

Menurutnya, pajakan flat itu berbaki 91 tahun.

“Sesetengah pembeli mempertimbangkan untuk menyewakan sebahagian dan tinggal di bahagian lain,” tambahnya.

Flat HDB paling mahal yang dijual setakat ini ialah unit lima bilik di Henderson pada harga $1.73 juta pada April.

HDB berkata pembeli perlu “membuat kajian, mempertimbangkan pilihan perumahan dengan teliti dan merancang kewangan dengan bijak agar tidak membayar harga terlalu tinggi”.

HDB menggesa pembeli merujuk data jualan semula di laman web HDB dan pilihan perumahan lain di Portal Flat HDB.