Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan sebanyak 6,938 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 19 Jun untuk penjualan, merangkumi lapan projek di Jurong East, Kallang/Whampoa, Queenstown, Tampines, Woodlands dan Yishun.
HDB juga mengumumkan ia akan menambah subsidi bagi tiga projek di bawah model perumahan awam lokasi utama (PLH).
Ini bagi memastikan “flat tersebut terus dimampui oleh lebih ramai rakyat Singapura”, ujar HDB, tanpa menyatakan jumlah tambahan subsidi itu.
Projek tersebut ialah Tanjong Rhu Riverfront I dan II di bandar matang Kallang/Whampoa, dan Holland Vista di Queenstown, lapor The Straits Times.
Untuk lebih adil, pemilik flat di tiga projek ini akan dikenakan pembayaran balik subsidi yang lebih tinggi setelah menjual flat mereka.
Pembayaran balik subsidi itu ditetapkan pada 9 peratus daripada harga jualan semula atau taksiran flat, bergantung yang mana lebih tinggi.
Ia sepadan dengan subsidi tambahan yang ditawarkan, menurut HDB.
Pembayaran balik subsidi ialah 6 peratus apabila skim PLH diperkenalkan pada 2021 untuk mengurangkan “kesan loteri”, iaitu keuntungan durian runtuh berlebihan bagi pemilik flat di kawasan utama dan tengah.
Ia dinaikkan kepada 8 peratus pada Disember 2023.
“Dengan subsidi tambahan ini dan diskaun pasaran besar yang digunakan bagi semua flat BTO, harga jualan projek PLH ini jauh lebih rendah daripada harga transaksi flat jualan semula setanding yang berdekatan,” kata HDB.
Flat PLH akan mempunyai tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun.
Menurut HDB, sebanyak 20 peratus daripada flat PLH akan diketepikan untuk keluarga yang memohon flat pertama kali, manakala 2 peratus dikhususkan untuk keluarga pemohon kali kedua di bawah Skim Keutamaan Anak Sudah Berumah Tangga (MCPS).
Skim itu membolehkan anak sudah berkahwin tinggal berhampiran ibu bapa untuk penjagaan dan sokongan bersama.
Bermula daripada jualan BTO terkini, pasangan muda yang layak bagi skim penilaian pendapatan tertunda boleh membuat bayaran pendahuluan lebih rendah sebanyak 2.5 peratus daripada harga flat.
Baki bayaran pendahuluan boleh dibuat apabila mereka mendapat kunci flat mereka.
Sebelum ini, bayaran pendahuluan ialah 5 peratus bagi pembeli flat yang mengambil pinjaman HDB atau yang tidak mempunyai pinjaman perumahan, dan 10 peratus bagi pembeli yang memilih pinjaman bank.
Pihak berkuasa pernah menjelaskan bahawa perubahan itu akan membantu meringankan beban sebilangan pasangan muda, seperti pelajar dan anggota Perkhidmatan Negara (NS) yang baru mula bekerja.
Separuh daripada flat yang ditawarkan pada pelancaran 19 Jun itu akan mempunyai masa menunggu empat tahun atau kurang.
Ini termasuk 791 flat di Marsiling Peak I di Woodlands, dengan penantian dua tahun 11 bulan, dan 561 flat di Tampines GreenTopaz, dengan penantian tiga tahun satu bulan.
Tampines GreenTopaz, merangkumi empat blok perumahan berhampiran stesen MRT Tampines West, akan mempunyai 561 flat fleksi dua bilik, flat empat dan lima bilik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg