Mereka yang ingin membeli flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kini boleh mencarinya dan membuat janji temu dengan penjual atau ejen hartanah mereka melalui Portal Flat HDB.
Perkhidmatan penyenaraian flat jualan semula, yang dilancarkan secara rasmi pada 30 Mei, membolehkan pemilik atau ejen hartanah menyenaraikan rumah mereka untuk dijual secara langsung, di portal laman web HDB.
Lebih 600 flat jualan semula telah disenaraikan di portal itu, sejak pelancaran awal pada 13 Mei, kata HDB.
Perkhidmatan itu bertujuan untuk mewujudkan pasaran yang telus dan boleh dipercayai untuk flat jualan semula, bagi penjual, pembeli dan ejen hartanah.
Bagi memastikan penyenaraian tulen, penjual mesti mempunyai niat untuk menjual untuk menyenaraikan rumah mereka.
Pembeli memerlukan surat Kelayakan Flat HDB (HFE) – yang menunjukkan mereka layak membeli flat, menerima geran dan pilihan pembiayaan – untuk menjadualkan janji temu meninjau flat.
HDB berkata portal itu mempunyai ciri apabila penjual akan dimaklumkan jika harga penyenaraian mereka sekurang-kurangnya 10 peratus melebihi harga urus niaga tertinggi, bagi unit serupa berdekatan, dalam tempoh enam bulan lalu.
Ini membolehkan mereka membuat keputusan yang baik mengenai harga yang disenarai.
Ia juga akan menggalakkan pasaran hartanah yang lebih mampan dalam jangka masa panjang.
“HDB berhak untuk mengeluarkan daripada senarai apabila terdapat harga yang tidak realistik atau mengandungi maklumat yang mengelirukan,” katanya.
Untuk menjadikan Portal Flat HDB sebagai wadah sehenti untuk pembeli, perkhidmatan penyenaraian flat jualan semula akan disepadukan dengan kalkulator kewangan, khidmat penyenaraian pinjaman dan maklumat mengenai surat HFE pembeli.
Pembeli juga boleh membandingkan penyenaraian flat jualan semula dengan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang baru.
Ia termasuk daripada aspek seperti harga dan baki tempoh pajakan, supaya mereka boleh menimbangkan kededua pilihan “secara holistik dan membuat keputusan yang lebih termaklum mengenai pembelian flat mereka”, kata HDB.
Bagi penjual atau ejen hartanah, mereka boleh menyenaraikan rumah dan menjalankan urus niaga flat jualan semula melalui satu platform.
Penyenaraian akan diisi secara automatik dengan butiran seperti alamat, jenis flat, keluasan lantai dan pelan lantai daripada data HDB.
Perkhidmatan penyenaraian adalah percuma buat masa ini.
Portal hartanah lain seperti PropertyGuru dan 99.co hanya membenarkan penyenaraian oleh ejen hartanah, yang perlu membayar yuran.
Platform seperti Ohmyhome dan Carousell pula membenarkan pemilik rumah melakukan penyenaraian sendiri secara percuma.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg