Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB lancar tapak pelbagai guna di estet perumahan baru Chencharu

Sep 26, 2024 | 3:37 PM
Tapak Chencharu Close (bahagian berwarna jingga dalam gambar di atas) dijangka menghasilkan sekitar 875 unit kediaman privet.
Tapak Chencharu Close (bahagian berwarna jingga dalam gambar di atas) dijangka menghasilkan sekitar 875 unit kediaman privet. - Ilustrasi URA

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 26 September melancarkan tapak komersial dan kediaman di Chencharu Close di Yishun untuk penjualan melalui tender.

Plot pegangan berpajak selama 99 tahun itu, yang berada dalam senarai yang disahkan di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh kedua 2024, dijangka menghasilkan kira-kira 875 unit kediaman privet.

Pembangunan itu akan disepadukan dengan pusat pertukaran bas dan pusat penjaja.

Ia juga akan merangkumi ruang masyarakat serta ruang komersial sehingga 12,600 meter persegi yang boleh digunakan untuk kegiatan runcit, lapor The Business Times (BT).

Tapak Chencharu Close itu berkeluasan 29,450 meter persegi, dengan Keluasan Lantai Kasar (GFA) maksimum 96,007 meter persegi dan nisbah plot kasar 3.26.

Sekurang-kurangnya 74,507 meter persegi – kira-kira 78 peratus daripada GFA maksimum – akan diketepikan untuk kegunaan kediaman.

Ini menjadikannya projek pelbagai guna kedua terbesar di utara Singapura, selepas kondominium North Park Residences dan pusat beli-belah Northpoint City oleh Frasers Property, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), agensi hartanah, Huttons Asia, Encik Mark Yip.

Permintaan boleh datang daripada penduduk rumah privet yang lebih tua di sekitarnya atau penghuni HDB di Yishun, yang ingin menyegarkan semula pajakan mereka atau “menaik taraf” rumah mereka, kata CEO ERA, Encik Marcus Chu.

Berdasarkan urus niaga sepanjang tempoh 15 bulan lalu, flat eksekutif di Yishun mempunyai harga median $826,400, yang boleh menyumbang kepada bayaran pendahuluan rumah privet baru bagi mereka yang tinggal di flat HDB, kata Encik Chu.

Ketua Penyelidikan dan Kandungan PropNex, Cik Wong Siew Ying, berkata tapak di Chencharu Close itu menawarkan pemaju dan pembeli rumah kelebihan sebagai penggerak paling awal, di tapak perumahan privet pertama di kawasan kediaman baru di Chencharu.

Encik Chu dari ERA percaya persaingan mungkin sengit untuk petak tanah guna bercampur itu, sama seperti Tampines Street 94.

Tapak penggunaan bercampur di Tampines menarik enam bidaan apabila tendernya ditutup, dengan jurang yang dekat sebanyak 1.9 peratus antara dua tawaran teratas.

Petak tanah di Chencharu Close sebahagian kawasan Chencharu baru di Yishun dijangka menawarkan sekitar 10,000 rumah.

Sekurang-kurangnya 80 peratus rumah di estet seluas 70 hektar itu akan diketepikan untuk perumahan awam, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada awal 2024.

Tender bagi tapak Chencharu Close itu akan ditutup pada 12 tengah hari, 22 Mei 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg