HDB luluskan lebih 200 rayuan kuota etnik pada 2025
Lima flat turut dibeli semula HDB daripada pemilik yang tidak dapat jual rumah akibat had kuota etnik
Pada 2025, kira-kira 30 peratus pemilik rumah berjaya dalam rayuan mereka untuk mendapatkan kelonggaran daripada dasar kuota etnik ketika menjual flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mereka.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 25 Februari memaklumkan, HDB turut membeli semula lima flat daripada pemilik yang tidak dapat menjual rumah mereka akibat had kuota etnik itu.
Secara keseluruhannya, HDB meluluskan 208 daripada 657 rayuan berkaitan Dasar Integrasi Etnik (EIP) pada 2025, katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Cik Valerie Lee (GRC Pasir Ris-Changi).
Cik Lee telah bertanya mengenai jumlah rayuan sedemikian, kadar kejayaan, serta bilangan kes yang melalui skim pembelian semula oleh pemerintah.
Encik Chee menjawab bahawa lima daripada 208 flat yang diluluskan itu dibeli semula di bawah skim bantuan khas bagi membantu pemilik yang sukar menjual flat mereka disebabkan had kuota etnik.
Langkah bantuan bagi 203 kes lain termasuk pengecualian had EIP untuk membolehkan pemilik menjual flat mereka kepada pembeli daripada mana-mana kumpulan etnik, serta memberi masa tambahan kepada pemilik untuk menjual flat sedia ada jika mereka telah membeli flat lain.
Encik Chee berkata pembelian semula flat oleh HDB adalah jalan terakhir, untuk membantu pemilik yang sudah berhabisan daya namun gagal menjual flat mereka.
Daripada 657 rayuan, 164 datang daripada pemilik Cina, 140 daripada pemilik Melayu dan 353 daripada kaum India atau Lain-lain. Kadar kelulusan adalah 15 peratus bagi pemilik Cina, 31 peratus bagi Melayu dan 40 peratus bagi kumpulan India atau Lain-lain.
Diperkenalkan pada 1989, EIP menetapkan kuota kaum bagi pemilikan flat dalam setiap blok dan kejiranan HDB, baik semasa pembelian awal mahu pun apabila flat itu dijual semula.
Skim pembelian semula EIP, yang dilaksanakan pada 2022, membolehkan HDB membeli semula flat jika pemilik memenuhi syarat tertentu, seperti cuba menjual unit tersebut pada harga yang munasabah di pasaran terbuka selama enam bulan.
Pemilik juga perlu menyimpan dan menyerahkan kepada HDB rekod bulanan iklan hartanah dalam talian atau cetakan yang menunjukkan harga dan tarikh senarai, serta rekod lawatan melihat flat, apabila memohon bantuan.
Jika pemilik didapati layak, flat tersebut akan dinilai secara profesional. HDB kemudian akan menetapkan harga pembelian semula dan membuat tawaran.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) mendedahkan pada 2024 bahawa satu daripada tiga blok HDB, dan 11 peratus kejiranan HDB, telah mencapai had EIP.
Pada 25 Februari, Encik Chee berkata setakat 31 Disember 2025, HDB memiliki sekitar 100 unit yang dibeli semula melalui skim tersebut atau diambil alih secara wajib atas sebab lain.
Unit-unit itu akan ditawarkan secara berperingkat untuk dijual di bawah Jualan Baki Flat dan tempahan terbuka flat.

