1% isi rumah paling kaya S’pura pegang 14% keseluruhan kekayaan
1% isi rumah paling kaya S’pura pegang 14% keseluruhan kekayaan
Setanding dengan ekon maju dengan pekali Gini kekayaan serupa secara am
Golongan 1 peratus isi rumah paling kaya di Singapura memegang sekitar 14 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan isi rumah negara ini, manakala 5 peratus teratas memegang sekitar 33 peratus, kata Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow, di Parlimen pada 25 Februari.
Angka tersebut secara umumnya sama dengan negara maju yang mempunyai pekali Gini kekayaan yang hampir sama dengan Singapura.
Pekali Gini, atau Gini coefficient ialah ukuran perangkaan yang lazim digunakan untuk menganalisis ketidaksamaan pendapatan dalam masyarakat.
Namun, anggaran itu perlu ditafsir dengan teliti kerana boleh terjejas dengan saiz sampel terhad, serta kemungkinan laporan respons tinjauan kurang tepat dalam kededua golongan paling kaya dan sebaliknya, jelas Encik Siow.
Menurutnya, buat masa ini, pemerintah tidak bercadang mendapatkan kuasa perundangan atau pentadbiran tambahan bagi mewajibkan pendedahan aset lebih terperinci, semata-mata untuk tujuan ukuran ketidaksamaan kekayaan.
Secara berasingan dalam catatan Facebook beliau pada 25 Februari, Encik Siow berkata penumpuan kekayaan di Singapura adalah setanding dengan ekonomi maju, seperti Jepun, Australia dan Finland, dan adalah jauh lebih rendah berbanding negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Satu kertas berkala mengenai pertumbuhan pendapatan, ketidaksamaan dan trend mobiliti sosial yang diterbitkan pada awal Februari mendapati pekali Gini kekayaan Singapura dianggarkan pada 0.55.
Ia lebih tinggi berbanding pekali Gini pendapatan yang berada pada paras 0.379 selepas cukai dan pemindahan, berdasarkan pendapatan pasaran isi rumah.
Anggaran itu dikeluarkan berdasarkan data daripada Tinjauan Perbelanjaan Keluarga (HES) yang mengumpulkan maklumat mengenai aset seperti deposit bank dan aset tidak tersenarai, termasuk aset di luar negara, serta liabiliti seperti tunggakan isi rumah dan pinjaman bank.
Kali terakhir tinjauan ini dijalankan adalah pada 2023.
Ia juga mengambil kira rekod pentadbiran berkaitan hartanah, akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Bon Simpanan Singapura, saham dan sekuriti yang disimpan dalam akaun Depositori Pusat serta Akaun Khas di bawah Skim Pelaburan CPF, polisi insurans hayat, baki dalam Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) dan Edusave, serta pinjaman di bawah pengurusan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Sambil menyatakan kertas itu merupakan kompilasi pertama Singapura bagi pekali Gini kekayaan, Encik Siow berkata pemerintah berhasrat memantau ukuran itu dari masa ke masa, dengan HES seterusnya dijadual pada 2028.
Meskipun angka itu memberi gambaran tentang kedudukan Singapura berbanding negara lain, Encik Siow menekankan kepentingan memantau perubahan data untuk meneliti sama ada ketidaksamaan kekayaan bergerak ke arah lebih seimbang.
Pemerintah akan mempertimbangkan sama ada petunjuk tambahan boleh disediakan, tambahnya.
Di samping itu, Encik Siow turut menjawab permintaan untuk pecahan lanjut mengenai ketidaksamaan kekayaan mengikut kumpulan umur, jenis aset dan jenis rumah.
Beliau berkata pekali Gini tidak dipecahkan mengikut kumpulan umur kerana ia diukur pada tahap isi rumah, bukan individu.
Ia juga tidak dikira mengikut jenis aset, kerana isi rumah “boleh dan memang menukar kekayaan mereka daripada satu jenis aset kepada jenis aset lain”.
Selain itu, pemerintah tidak membezakan antara perumahan awam dengan privet, atau perumahan milik sendiri dan bukan milik sendiri.
Ia juga tidak mempunyai data cukup terperinci untuk membezakan pegangan aset di dalam dan di luar negara.
Selaras dengan garis panduan antarabangsa, ukuran itu mengambil kira kededua aset cair dan tidak cair, jelas Encik Siow.
Apabila ditanya sama ada pemerintah telah mempertimbangkan bentuk cukai kekayaan lain selain cukai hartanah, Encik Siow menjelaskan Singapura mengambil pendekatan memberi tumpuan kepada aset kurang mudah alih seperti hartanah dan kenderaan.
Ini kerana pendekatan sebegitu kurang terdedah kepada pergerakan rentas sempadan dan perancangan cukai, sambil tetap mengekalkan daya saing.
Menjawab soalan tambahan Anggota Parlimen (AP) Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) mengenai kesan cukai hartanah lebih tinggi terhadap pesara yang kaya aset tetapi kekurangan tunai, Encik Siow menyatakan sistem itu bersifat progresif.
Hartanah pelaburan dan hartanah bernilai tinggi dikenakan cukai lebih tinggi, manakala pemilik rumah yang hanya memiliki satu hartanah dikenakan cukai lebih rendah dan menerima rebat cukai hartanah, sekiranya perlu.
Namun, beliau mengakui sesetengah pemilik “mungkin menghadapi keadaan kewangan berbeza, terutama dari segi aliran tunai”.
Justeru itu, mekanisme penangguhan bayaran cukai hartanah disediakan untuk membantu dalam meringankan tekanan sedemikian, katanya, sambil menekankan bahawa warga emas dan pesara yang layak boleh memohon untuk membayar cukai tersebut secara ansuran tanpa faedah yang dipanjangkan.

