Topik diikuti
Pergi ke BHkuHDB perkenal teknologi baharu, pembinaan lebih pantas dan selamat
Lif angkat pintar dan robot meratakan konkrit, dua teknologi baharu yang diperkenalkan
HDB perkenal teknologi baharu, pembinaan lebih pantas dan selamat
Dua teknologi sedang diperkenalkan secara berperingkat oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi menjadikan kerja pembinaan lebih selamat, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kaedah yang memerlukan banyak tenaga kerja.
Teknologi tersebut ialah lif pintar yang dipanggil ‘Smart Passenger & Material Hoist’ (Smart PM Hoist) dan robot meratakan konkrit, atau screeding robot.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas HDB untuk memperkukuh keupayaan dalaman industri serta menggalakkan penggunaan mekanisasi, robotik dan automasi dalam sektor pembinaan.
Kedua-dua teknologi kini diuji di tapak projek terpilih.
Perkara itu diumumkan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, semasa Majlis Anugerah HDB tahunan di Resorts World Sentosa pada 25 September.
Dalam acara tersebut, Anugerah Reka Bentuk, Pembinaan, Kejuruteraan dan Landskap turut disampaikan kepada rakan kongsi pembinaan HDB.
Lif pintar digunakan untuk mengangkut bahan dan pekerja ke pelbagai tingkat bangunan HDB yang sedang dibina.
Berbeza dengan lif konvensional yang memerlukan seorang operator khusus bagi setiap lif, Smart PM Hoist itu boleh naik terus ke tingkat yang diperlukan.
Ciri keselamatan seperti sensor yang mengesan halangan serta sensor antijepit pada pintu membolehkan lif tersebut beroperasi tanpa operator khusus.
Dengan teknologi ini, seorang pekerja boleh menyelia sehingga tiga Smart PM Hoist, berbanding seorang operator bagi setiap lif konvensional.
Sebagai contoh, di tapak projek yang menggunakan enam Smart PM Hoist, hanya dua pekerja diperlukan berbanding enam sebelum ini.
Ia memberikan peningkatan produktiviti sekitar 200 peratus bagi operasi lif.
Bagaimanapun, peningkatan produktiviti sebenar bergantung kepada jumlah lif yang digunakan serta keadaan di tapak pembinaan.
HDB merancang memperkenalkan Smart PM Hoist itu secara berperingkat di sekitar 50 peratus tapak rumah Bina Ikut Tempahan (BTO) yang ditender mulai 2027.
Ini selepas percubaan awal di beberapa projek di Woodlands, Yishun dan Rochor menunjukkan hasil yang menggalakkan.
Pendekatan secara berperingkat itu akan memberi masa kepada kontraktor dan penyedia teknologi untuk membangunkan keupayaan mereka serta menyesuaikan penggunaan lif pintar dengan operasi di tapak.
Sementara itu, robot bagi meratakan konkrit dapat meratakan permukaan konkrit dengan lebih pantas berbanding kaedah manual, dengan menggabungkan proses menyebar, menggetarkan dan meratakan konkrit berpandukan laser dalam satu laluan berterusan.
Kaedah meratakan konkrit secara konvensional memerlukan pekerja memasang pasak aras secara manual.
Robot ini pula menghapuskan keperluan tersebut dan membantu pekerja meratakan serta melicinkan lantai sebelum jubin atau vinil dipasang.
Selepas menjalani percubaan awal di tapak BTO di Bukit Merah dan Ghim Moh, HDB akan melanjutkan percubaan kepada sekurang-kurangnya empat lagi projek BTO pada 2027 bagi menilai prestasi robot dalam keadaan tapak yang berbeza serta potensinya untuk digunakan secara lebih meluas.
Robot itu turut menggunakan panduan laser untuk menghasilkan kemasan yang lebih sekata, sekali gus mengurangkan kerja meratakan dan membetulkan permukaan secara manual.
Ini dapat mengurangkan keperluan pekerja melakukan tugasan yang memerlukan tenaga fizikal berulang kali.
Selain kedua-dua teknologi tersebut, Encik Chee turut mengumumkan pelancaran Katalog Komponen Pratuang Dipertingkat atau Enhanced Precast Component Catalogue (EPCC), iaitu katalog yang mengandungi spesifikasi terperinci serta lukisan tentang cara komponen pratuang perlu dihasilkan.
Katalog itu boleh dimuat turun melalui sistem ‘BGBiz HDB’ mulai 28 September dan akan digunakan bagi tender reka bentuk mulai Disember 2026.
EPCC dijangka membantu rakan kongsi industri menjimatkan sehingga 20 peratus jam kerja bagi peringkat perancangan, reka bentuk dan pembinaan sesuatu projek.
Katalog tersebut menetapkan spesifikasi seperti gred konkrit, keperluan tetulang dan butiran sambungan.
Ia dibangunkan berdasarkan pengalaman HDB dalam pembinaan menggunakan komponen pratuang serta melalui rundingan dengan pihak industri.
EPCC bertujuan mewujudkan lebih banyak keseragaman dalam pembinaan, sambil mengekalkan fleksibiliti yang mencukupi untuk membolehkan perunding menghasilkan reka bentuk BTO yang tersendiri.
Buat kali pertama, komponen pratuang standard yang boleh terus digunakan disediakan sebagai pilihan kepada industri, membolehkan pembekal komponen pratuang membina stok komponen tersebut bagi menyokong tender bekalan pada masa akan datang.