Lebih 2,500 unit flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan tempoh menunggu sekitar tiga tahun atau kurang akan ditawarkan dalam sesi jualan pada Jun.

Unit-unit ini merangkumi lebih satu pertiga daripada kira-kira 6,900 flat yang akan dilancarkan dalam jualan kali ini, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pembeli rumah yang mahu mendapatkan kediaman dalam tempoh lebih singkat.

Menurut kenyataan media oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 7 Jun, sebanyak 2,520 unit flat BTO dengan tempoh menunggu lebih singkat akan ditawarkan merentasi tiga projek di Sembawang dan Ang Mo Kio.

Daripada jumlah tersebut, dua projek merupakan projek MasaTunggu Lebih Singkat (SWT) di Sembawang yang menawarkan tempoh menunggu kurang daripada tiga tahun.

Projek Sembawang Portico mencatat tempoh menunggu sekitar dua tahun tujuh bulan, manakala Sembawang Brook sekitar dua tahun sembilan bulan.

Projek ketiga, Kebun Baru Ridge di Ang Mo Kio, mempunyai tempoh menunggu sekitar tiga tahun satu bulan.

Menurut HDB, usaha menyediakan flat dengan tempoh menunggu lebih singkat ini dilakukan melalui perancangan awal bersama agensi pemerintah lain bagi mempercepatkan proses pembangunan, supaya pembinaan boleh dimulakan lebih awal sebelum projek dilancarkan untuk jualan.

Sembawang Portico terletak di kawasan Sembawang North, bersempadan dengan Admiralty Lane dan Sembawang Drive.

Projek ini terdiri daripada tiga blok kediaman termasuk satu blok gabungan yang menempatkan flat yang dijual dan sewa.

Ia menawarkan sebanyak 875 unit flat yang terdiri daripada dua bilik Flexi, tiga, empat dan lima bilik.

Sementara itu, Sembawang Brook yang terletak berhampiran Admiralty Street dan Sungai Sembawang mempunyai lima blok kediaman termasuk satu blok sewa.

Projek ini menawarkan 1,160 unit flat termasuk dua bilik Flexi, tiga, empat, lima bilik serta unit flat tiga generasi (3Gen) yang sesuai untuk keluarga berbilang generasi.

Bagi projek Kebun Baru Ridge di Ang Mo Kio, ia akan menampilkan tiga blok kediaman dengan 485 unit flat tiga dan empat bilik.

Penduduk juga akan mendapat kemudahan asas seperti kedai runcit dan rumah makan, selain akses mudah kepada pusat makanan, pasar serta sambungan pengangkutan awam melalui Stesen MRT Mayflower di Laluan Thomson-East Coast.

Selain itu, penduduk di Sembawang Portico dan Sembawang Brook juga akan menikmati akses awal kepada kemudahan seperti pusat penjaja makanan, pusat jagaan kanak-kanak, kedai runcit dan perkhidmatan bas, yang dijangka beroperasi sekitar enam bulan selepas penyerahan kunci kepada penduduk pertama.

Secara keseluruhan, beberapa projek lain turut akan ditawarkan di kawasan Ang Mo Kio, Bishan, Bukit Merah dan Woodlands dalam sesi jualan BTO Jun 2026, dengan maklumat lanjut akan diumumkan semasa pelancaran rasmi.