Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB dalam proses serah pusat tukaran bas Bidadari kepada LTA

LTA akan kongsi lebih banyak butiran tentang tarikh operasi pusat pertukaran bas kelak
Jan 30, 2025 | 12:56 PM
Pusat pertukaran bas bawah tanah itu terletak di pembangunan bersepadu Woodleigh Village, yang merangkumi 330 flat HDB dan sebuah pusat penjaja. 
Pusat pertukaran bas bawah tanah itu terletak di pembangunan bersepadu Woodleigh Village, yang merangkumi 330 flat HDB dan sebuah pusat penjaja.  - Foto ST

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam proses menyerahkan pusat pertukaran bas Woodleigh, yang telah lama tertunda, kepada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) setelah kerja pembinaan terminal bawah tanah itu selesai pada Disember 2024.

Terletak di kawasan perumahan Bidadari, pusat pertukaran bas itu asalnya dijadualkan siap pada 2021.

HDB berkata pada 27 Januari kepada The Straits Times bahawa pembinaan itu menghadapi “cabaran kejuruteraan besar”, yang menyebabkan tempoh projek lebih lama dari yang dijangka.

Pada Februari 2024, dilaporkan bahawa kerja pembinaan pertukaran bas bawah tanah pertama yang dihubungkan dengan flat HDB hampir 85 peratus siap.

Dalam kemas kini terbarunya, HDB berkata permit pendudukan sementara untuk pusat pertukaran bas itu diperoleh pada 31 Disember.

Dengan permit tersebut, ia mengesahkan bahawa struktur terminal bas itu selamat untuk penggunaan orang awam walaupun ada kerja-kerja akhir yang masih diteruskan.

“Pada masa ini, kami sedang bekerjasama dengan LTA untuk menyerahkan pusat pertukaran bas ini kepada mereka. LTA akan berkongsi lebih banyak butiran mengenai tarikh operasi pusat pertukaran ini apabila sudah bersedia,” tambahnya.

Pusat pertukaran bas itu terletak di pembangunan bersepadu Woodleigh Village, yang merangkumi 330 flat HDB dan sebuah pusat penjaja.

Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dihubungkan dengan stesen MRT Woodleigh itu dilancarkan untuk dijual pada November 2016 dan blok terakhirnya siap pada November 2022.

HDB memberitahu ST juga pada Februari 2024 bahawa terminal bas Woodleigh ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 dan cabaran kejuruteraan.

Kerja dan penyelarasan besar bersama kontraktor berbeza diperlukan untuk mengalihkan atau mengelakkan perkhidmatan bawah tanah sedia ada – seperti paip air, gas, elektrik, pembetung dan kabel gentian optik – dan memastikan perkhidmatan itu tidak terganggu semasa pembinaan.

Paip perkhidmatan tersebut perlu dialihkan sebelum HDB dapat meneruskan kerja pembinaan dan penggalian untuk terminal bas dan kemudahan bawah tanah lain, seperti laluan bawah tanah pejalan kaki ke stesen MRT.

Pusat penjaja di Woodleigh Village, yang asalnya dijadualkan dibuka pada separuh kedua 2023, hanya mula beroperasi pada September 2024.

Kawasan Woodleigh, merangkumi 2,685 flat merentasi tiga projek BTO, termasuk 312 flat sewa, adalah yang pertama di estet Bidadari yang semua flatnya sudah siap dibina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg