Penduduk di Toa Payoh boleh menjangka lebih banyak projek dan rancangan yang bertujuan meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan di bandar itu pada masa akan datang, kata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat.
Sehubungan itu, Encik Chee, Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh sejak 2015, berharap beliau dapat terus “berkhidmat kepada penduduk” di kawasan itu selepas Pilihan Raya Umum (GE) 2025 – yang harus diadakan selewat-lewatnya pada November.
Bercakap kepada media semasa acara #MesraBergongxi anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra) di HDB Hub di Toa Payoh pada 26 Januari, Encik Chee berkata:
“Kami menantikan laporan oleh Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) untuk melihat sama ada terdapat sebarang perubahan ke atas sempadan kami, tetapi saya amat berharap untuk kekal di GRC Bishan-Toa Payoh.
“Saya telah (berkhidmat) di sini sejak hampir 10 tahun lalu, dan berharap dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan penduduk di sini.
“Saya masih mempunyai beberapa rancangan dan beberapa idea tentang apa yang boleh kami lakukan bersama-sama dengan penduduk untuk menambah baik kemudahan dan perkhidmatan di bandar ini, dan saya berharap diberi peluang untuk terus berbakti kepada mereka di kawasan ini,” kata Encik Chee.
Beliau berkata banyak kemudahan telah dibangunkan buat penduduk Toa Payoh, termasuk beberapa kawasan permainan bagi kanak-kanak dan remaja di Kelab Masyarakat Toa Payoh West, dan banyak lagi akan dilakukan pada masa akan datang.
Pada 26 Januari, Encik Chee mengagihkan limau kepada penduduk bersama relawan PA Mesra dan badan akar umbi di Toa Payoh sebagai sebahagian daripada inisiatif tahunan untuk memupuk persefahaman antara budaya.
Acara itu, yang dianjurkan untuk menyebarkan keceriaan sempena Tahun Baru Cina, turut disertai seorang lagi AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, serta Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, yang juga AP SMC Marymount.
Ditemui media selepas acara itu, Encik Chee berkata acara tersebut “amat bermakna” kerana ia memberi peluang kepada penduduk pelbagai kaum untuk berkumpul, meraikan dan menghargai pelbagai perayaan, warisan dan budaya di Singapura.
“Kami harap dapat melihat lebih ramai rakyat Singapura mengambil bahagian, bukan hanya dari rakan kami di PA Mesra yang menyambut Tahun Baru Cina bersama penduduk berbangsa Cina.
“Tetapi juga untuk rakan-rakan masyarakat Cina dan India dalam menyambut Hari Raya bersama-sama rakan Melayu/Islam kita.
“Jadi ini adalah sesuatu yang saya harap kita boleh terus menggalakkan untuk mempunyai persefahaman yang lebih mendalam tentang budaya, perayaan dan warisan satu sama lain,” kata Encik Chee.
Seorang penduduk, Cik Doris Chen, 85 tahun, yang tinggal di Toa Payoh sejak 50 tahun lalu, berkata beliau terkejut dan terharu dengan usaha PA Mesra dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Toa Payoh itu.
“Saya sangat gembira kerana orang bukan Cina pun tampil menyebarkan kegembiraan Tahun Baru Cina. Ia benar-benar mencerminkan hubungan harmoni antara kaum di sini,” kata Cik Chen.
Seorang lagi penduduk, Encik James Ng, 50 tahun, yang sedang membeli-belah bersama isterinya di HDB Hub di Toa Payoh pada 26 Januari, berkata beliau berasa gembira melihat inisiatif sebegitu dapat dilakukan oleh masyarakat Melayu menjelang perayaan Tahun Baru Cina.
Beliau menambah bahawa acara tersebut benar-benar mencerminkan masyarakat berbilang kaum di Singapura yang saling harmoni dan ia juga membantu memupuk identiti dan perpaduan sosial.
“Bukan sahaja masyarakat Melayu yang menyambut Tahun Baru Cina bersama kami, tetapi saya rasa masyarakat Cina juga boleh turut serta meraikan Hari Raya bersama rakan-rakan Melayu kita,” kata Encik Ng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg