Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima sekitar 240 kes maklum balas mengenai masalah pemeluwapan dan kulat pada dinding serta siling pada 2025.
Kes tersebut berpunca daripada penggunaan alat penyaman udara oleh jiran, kata Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling, di sidang Parlimen pada 14 Januari.
Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP), Cik Jessica Tan (GRC East Coast), Cik Sun menyarankan agar pemilik flat memastikan bilik mereka sentiasa mempunyai pengudaraan yang baik bagi mengurangkan wujudnya kulat.
Ini di samping mempertimbangkan penggunaan cat kalis kulat sebagai langkah pencegahan, tambah Cik Sun.
Sebagai susulan, Cik Tan berkata terdapat peningkatan dalam jumlah rayuan berkaitan kulat yang berpunca daripada penggunaan alat penyaman udara secara berterusan.
“Cabaran bagi para penduduk ialah mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana puncanya datang dari unit jiran,” ujar Cik Tan, sambil menambah masalah kulat menyebabkan isu kesihatan kepada ramai penduduk.
Justeru, Cik Tan menyoal tentang langkah yang boleh diambil bagi memastikan kebertanggungjawapan atau perkongsian kos dalam pertikaian sedemikian, serta jika garis panduan akan diperkenal bagi menjelaskan tanggungjawab pemilik flat yang terjejas.
Sebagai respons, Cik Sun berkata HDB boleh mempertimbangkan untuk mengeluarkan nasihat kepada jiran-jiran mengenai penggunaan penyaman udara yang betul, seperti tempoh penggunaan atau penetapan suhu.
Berhubung cadangan Cik Tan mengenai penambahbaikan pada dinding dan siling, Cik Sun berkata HDB perlu meneliti sama ada langkah tersebut benar-benar berkesan dan sama ada ia boleh ditetapkan sebagai keperluan.
Beliau menambah Kementerian Pembangunan Negara (MND) juga perlu melihat kepada butiran setiap kes bagi menentukan cara terbaik mengagihkan pampasan antara dua pihak yang terlibat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg