Tampines menjadi kawasan brownfield – kawasan atas tapak yang sudah dibangunkan – pertama menerapkan huraian penyejukan mampan.
Digelar rangkaian Pembahagian Penyejukan Daerah (DDC), ia direka khas oleh SP Group untuk pembangunan brownfield bagi memberi keselesaan penyejukan yang sama, sambil meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon, kata agensi itu pada 14 Mac.
Sistem penyejukan bersama itu menghubungkan tujuh bangunan di pusat bandar Tampines – Century Square, CPF Tampines, Income, OCBC, Our Tampines Hub, Tampines Mall dan Tampines 1.
Ini bermakna kesemua bangunan tersebut akan mendapatkan bekalan air sejuk dari sumber yang sama.
Ia bermakna loji penyejuk sendiri bagi setiap bangunan tidak lagi diperlukan, lantas menjimatkan tenaga.
Penerapan rangkaian itu merupakan pencapaian penting dalam rancangan Tampines menjadi sebuah bandar lebih hijau dan mampan, atau Eco Town – sebuah pelan lima tahun yang dilancarkan pada 2020, ujar Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines.
“Pelancaran DDC adalah pencapaian penting dalam Pelan Tampines Eco-Town – merangka tindakan untuk membina dan mendiami bandar secara mampan.
“Kita bukan sekadar membina prasarana hijau; kita sedang memberi peluang kepada setiap penghuni untuk menjalani kehidupan hijau,” kata beliau ketika berucap di majlis pelancaran DDC di Our Tampines Hub (OTH) pada 14 Mac.
Menurut SP Group, Tampines adalah pusat bandar pertama yang melaksanakan sistem tersebut.
Pembinaan DDC bermula pada Mac 2023 bagi mengubah suai bangunan dan memasang prasarana seperti paip air sejuk.
Pengarah Urusan Penyelesaian Tenaga Mampan di SP Group, Encik S.Harsha, menjelaskan pusat bandar Tampines dibina dalam persekitaran yang padat dan mempunyai kekurangan ruang untuk membina loji penyejukan daerah.
Ia menjadi cabaran untuk membina rangkaian itu sambil mengurangkan kesulitan dan gangguan kepada penduduk, tambahnya.
Bagi mengatasi perkara itu, SP Group sentiasa berhubung dengan pemilik bangunan, penduduk, dan orang awam bagi mengurangkan kesulitan kepada masyarakat sepanjang dua tahun pembinaan.
Menurut Encik Harsha, dengan pelancaran DDC, sebuah rangka tindakan dapat dibangunkan untuk melaksanakan konsep yang sama di kawasan lain yang sudah dibangunkan.
Pelancaran itu turut dihadiri oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines – Dr Koh Poh Koon, Encik Desmond Choo, Encik Baey Yam Keng – dan wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr Charlene Chen, serta pihak berkepentingan bagi bangunan yang terlibat dalam rangkaian tersebut.
Dioperasikan oleh SP Group, DDC dapat mengurangkan pelepasan karbon di pusat bandar sebanyak 1,000 tan metrik setahun, bersamaan dengan mengurangkan 910 kereta dari jalan raya.
Lebih 2,300,000 kilowatt sejam (kWh) tenaga juga dapat dijimatkan setahun, cukup untuk memberi tenaga kepada lebih 710 rumah HDB tiga bilik pada tempoh yang sama.
Berbeza daripada sistem penyejukan konvensional yang menggunakan pendingin bagi setiap bangunan, DDC menggunakan loji pengeluaran air sejuk utama – dengan Century Square, Our Tampines Hub, dan Tampines 1 bertindak sebagai pengeluar utama.
Ketiga-tiga lokasi itu mempunyai nod bekalan air sejuk yang mempunyai kapasiti penyejukan yang banyak dan kecekapan tenaga yang lebih baik.
Ia membekalkan air sejuk kepada bangunan-bangunan berhubung yang lain menerusi paip bawah tanah sekitar 1.3 kilometer.
Dengan memanfaatkan kapasiti penyejukan dan kecekapan menyeluruh, rangkaian itu boleh mengurangkan kos peralatan dan menggunakan ruang, yang dahulunya untuk peralatan penyejukan, bagi tujuan komersial lain.
Mengulas mengenai kepentingan DDC, Encik Harsha, berkata:
“Selama bertahun-tahun, kami telah memahami peranan penting alat hawa dingin dalam iklim tropika kita, tetapi sistem hawa dingin tradisional dalam bangunan, terutama yang ada di bangunan lama, biasanya kurang cekap dan direka dengan kapasiti tunggu sedia.”
Menurutnya bangunan tersebut akan menggunakan jumlah tenaga yang besar dan berkekalan untuk bertahun-tahun akan datang.
“Sebagai usaha untuk mengurangkan jejak karbon kita dan membina Singapura yang lebih hijau, kita perlu melaksanakan penyelesaian penyejukan yang lebih lestari yang boleh disesuaikan untuk bangunan sedia ada,” tambahnya.
Bagi fasa seterusnya, SP Group sedang berbincang untuk menambah tujuh lagi bangunan di sekitar kawasan tersebut ke dalam DDC, sekali gus memperkukuhkan usaha Tampines menjadi Eco-Town.
Dengan lebih 80 peratus landskap Singapura terdiri daripada pembangunan brownfield, daya utama seperti ini selaras dengan Pelan Hijau Singapura 2030 dan sasaran negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, jelas SP Group.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg