Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB tawar 10,209 flat; laksana skim keutamaan bagi golongan bujang

HDB umum subsidi bagi 4 projek Prime akan ditambah bagi pastikan harga flat kekal mampu milik
Jul 23, 2025 | 2:43 PM
Projek Toa Payoh Ascent merupakan salah satu daripada 5,547 unit flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang ditawarkan untuk jualan.
Projek Toa Payoh Ascent merupakan salah satu daripada 5,547 unit flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang ditawarkan untuk jualan. - Foto HDB

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 5,547 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 23 Julai, untuk jualan meliputi lapan projek di Bukit Merah, Bukit Panjang, Clementi, Sembawang, Tampines, Toa Payoh dan Woodlands, termasuk unit pertama di kawasan perumahan baru Sembawang North.

Sebanyak 4,662 baki flat turut ditawarkan, termasuk 1,733 unit di bawah skim Jualan Baki Flat (SBF) yang telah siap dibina dan sedia untuk didiami. 

Sebahagian besar unit baki flat ini terletak di kawasan Kallang/Whampoa, Tengah dan Geylang.

Beberapa perubahan dasar yang memberi manfaat kepada golongan bujang dan keluarga yang ingin menaik taraf atau membuat perubahan pada saiz rumah mereka juga mula berkuat kuasa dengan penjualan kali ini.

HDB mengumumkan bahawa subsidi bagi empat projek Prime di Bukit Merah, Toa Payoh dan Clementi akan ditambah bagi memastikan harga flat kekal mampu milik oleh lebih ramai rakyat Singapura.

Namun, lembaga perumahan tersebut tidak menyatakan secara terperinci jumlah peningkatan subsidi itu, lapor The Straits Times (ST).

Pemilik flat Prime akan tertakluk kepada kadar pemulangan subsidi yang lebih tinggi apabila mereka menjual flat mereka nanti.

Kadar pulangan ini ditetapkan pada 11 peratus bagi flat di Toa Payoh Ascent serta Alexandra Peaks dan Alexandra Vista di Bukit Merah, manakala bagi Clementi Emerald, kadarnya ialah 12 peratus.

Menurut HDB, kadar pulangan itu sepadan dengan jumlah subsidi tambahan yang diberikan. 

Flat-flat ini juga tertakluk kepada Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama 10 tahun.

Kadar pulangan subsidi bagi flat Prime ialah 9 peratus dalam dua tawaran sebelum ini.

Empat projek selebihnya diklasifikasikan di bawah kategori Standard, yang tidak tertakluk kepada pemulangan semula subsidi apabila dijual, dan mempunyai tempoh MOP selama lima tahun.

Menurut HDB, tujuh daripada 10 flat BTO dalam tawaran kali ini mempunyai tempoh menunggu empat tahun atau kurang.

Projek di kawasan kejiranan baru Sembawang North, yang dinamakan Sembawang Beacon, merangkumi 775 unit flat dua bilik fleksi serta flat tiga, empat dan lima bilik, termasuk unit tiga generasi, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun.

Ia terletak di antara kawasan Admiralty Link, Admiralty Lane dan Canberra Road, dan berhampiran dengan kemudahan seperti taman kejiranan dan stesen MRT Sembawang.

Harga flat Sembawang Beacon (sebelum subsidi) ialah antara $148,000 dan $207,000 bagi unit dua bilik fleksi; $267,000 hingga $323,000 bagi unit tiga bilik; $328,000 hingga $413,000 bagi unit empat bilik; $487,000 hingga $586,000 bagi unit lima bilik; dan $497,000 hingga $585,000 bagi unit tiga generasi.

Projek Standard di Simei pula merangkumi 380 unit flat dua bilik fleksi serta flat empat dan lima bilik, dan terletak di antara Simei Road dan Upper Changi Road East. 

Tempoh menunggu bagi flat ini adalah sekitar tiga tahun setengah.

Projek Prime di Toa Payoh Ascent akan merangkumi 741 unit flat dua bilik fleksi, serta flat tiga dan empat bilik. 

Ia terletak di antara Toa Payoh Rise dan Braddell Rise, yang berhampiran dengan stesen MRT Caldecott.

Tempoh menunggu bagi projek ini adalah tiga tahun lima bulan.

Harga flat Toa Payoh Ascent (tidak termasuk geran) bermula daripada $212,000 hingga $354,000 bagi flat dua bilik fleksi, $406,000 hingga $514,000 bagi flat tiga bilik, dan $583,000 hingga $777,000 bagi flat empat bilik.

Projek Bangkit Breeze di Bukit Panjang dan Clementi Emerald pula akan mempunyai tempoh menunggu yang lebih singkat, iaitu kurang dari tiga tahun.

HDB berkata pemohon yang ingin meningkatkan peluang mereka mendapat sebuah unit digalak memohon flat Standard, di mana sekurang-kurangnya 90 peratus daripada flat empat bilik dan ke atas diperuntukkan untuk keluarga yang pertama kali membeli flat.

Permohonan akan ditutup pada 11.59 malam, 30 Julai, melalui Portal Flat HDB di https://homes.hdb.gov.sg/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg