Warga bujang dan keluarga pemohon kali kedua bakal menikmati lebih banyak sokongan apabila mereka membeli flat di bawah inisiatif perumahan baru mulai Julai.
Membentangkan antara sokongan itu menerusi satu kenyataan pada 20 Julai, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berkata Skim Penjagaan Keluarga (Tinggal Berhampiran), yang memberi keutamaan kepada anak yang sudah berkahwin mahupun bujang yang memohon untuk tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa mereka, akan berkuat kuasa mulai penjualan flat pada Julai.
Diumumkan buat kali pertama oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2024, ia menggantikan Skim Keutamaan Anak Sudah Berumah Tangga (MCPS) dan Skim Keutamaan Warga Emas (SPS), lantas memperkemas usaha memperkukuh sokongan keluarga antara generasi dengan menggalak kehidupan berdekatan antara ibu bapa dengan anak.
Sebelum ini, keutamaan hanya diberi kepada pasangan suami isteri dan ibu bapa mereka di bawah MCPS dan SPS.
Sekarang ini, hingga 65 peratus flat fleksi dua bilik Bina Ikut Tempahan (BTO) dan hingga 5 peratus unit Jualan Baki Flat (SBF) diperuntuk bagi pemohon bujang kali pertama, selepas mengetepikan flat buat warga emas.
Daripada kuota tersebut, hingga 30 peratus flat fleksi dua bilik BTO dan hingga 2 peratus unit SBF akan diperuntuk bagi pemohon bujang kali pertama yang memohon di bawah Skim Penjagaan Keluarga (Tinggal Berhampiran), kata HDB.
Namun, ini bagi flat jenis Standard dan Plus sahaja.
Bagi flat jenis Prime, hingga 20 peratus flat fleksi dua bilik BTO dan hingga 1 peratus unit SBF akan diperuntuk bagi pemohon bujang kali pertama yang memohon di bawah skim baru itu.
Ibu bapa dan anak mereka – tak kira bujang mahupun sudah berkahwin – juga boleh memanfaatkan Skim Penjagaan Keluarga (Pengundian Bersama) yang memberi mereka keutamaan apabila membuat permohonan bersama bagi dua unit flat dalam projek BTO yang sama.
Namun menurut HDB, skim itu dijadual akan dilaksana mulai penjualan flat pada Oktober.
Untuk menyokong aspirasi keluarga pemohon kali kedua, HDB juga akan meningkatkan peruntukan kuota bagi flat BTO tiga bilik dan yang lebih besar bagi golongan ini.
Dengan perubahan itu, hingga 20 peratus flat tiga bilik jenis Standard, dan hingga 10 peratus flat tiga bilik jenis Plus dan Prime serta flat empat bilik dan lebih besar akan diperuntuk bagi keluarga pemohon kali kedua.
Namun, keluarga pemohon kali pertama tetap akan diperuntuk sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus daripada flat tiga bilik dan lebih besar.
“Kami akan terus memperhalusi dasar perumahan awam untuk memastikan perumahan awam yang mampu dimiliki, boleh diakses dan inklusif bagi rakyat Singapura,” kata HDB.
Mulai penjualan pada Julai, peningkatan kepada Skim Penilaian Pendapatan yang Ditangguhkan (DIA) dan Geran Perumahan Permulaan Baru juga akan dilaksana.
Skim DIA membolehkan pasangan yang layak untuk memohon flat baru terlebih dahulu dan menangguhkan penilaian pendapatan mereka bagi Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG) dan pinjaman perumahan HDB sehingga tempoh lebih dekat dengan masa mereka mengambil kunci.
Ini membolehkan pasangan mendapatkan pinjaman yang lebih besar kerana pendapatan mereka mungkin lebih stabil dan lebih tinggi pada masa itu, tanpa menangguhkan permohonan flat mereka.
Di bawah skim DIA yang dipertingkat, hanya salah seorang daripada pasangan perlu menjadi pelajar sepenuh masa atau anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF).
Sebelum ini, kedua-dua pihak perlu memenuhi syarat tersebut.
Dengan Geran Perumahan Permulaan Baru yang ditambah daripada $50,000 kepada $75,000, keluarga pemohon kali kedua yang layak juga boleh menggunakan geran lebih tinggi itu untuk membeli flat BTO dua bilik fleksi atau tiga bilik Standard, atau flat SBF, dengan tempoh pajakan lebih pendek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg