Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB tawar konsep terbuka bagi flat baru di Kallang-Whampoa

Desmond: Antara maklum balas golongan muda semasa dialog Melakar Hala Tuju S’pura yang mahukan fleksibiliti ruang flat
May 27, 2024 | 5:09 PM
Flat dengan konsep terbuka lebih fleksibel untuk jangka panjang.
Flat dengan konsep terbuka lebih fleksibel untuk jangka panjang. - Foto HDB

Pembeli rumah akan diberi pilihan memilih jenis flat HDB baru tanpa pemecahan ruang dan dinding untuk mewujudkan ruang tamu dan bilik tidur berkonsep terbuka, tidak lama lagi.

Konsep yang dikenali sebagai ‘flat putih’ atau white flats ini akan dirintis bagi projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di Kallang-Whampoa yang akan dilancarkan pada Oktober, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, pada 27 Mei.

HDB mengatakan pada 27 Mei bahawa susun atur ini menawarkan pemilik rumah kebebasan untuk mereka bentuk dan menyesuaikan ruang flat berdasarkan keperluan dan kemahuan mereka sendiri.

Projek itu akan merangkumi 80 unit tiga bilik dan 230 flat empat bilik di tapak berhampiran stesen MRT Lavender yang berdekatan dengan North Bridge Road dan Crawford Street.

Dalam ucapannya kepada pelajar maktab rendah dan pelajar prauniversiti di seminar Prauniversiti yang diadakan di Auditorium Ho Bee di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Lee berkata jenis flat ini mungkin menarik minat pasangan yang ingin memiliki rumah konsep terbuka untuk kanak-kanak kecil berlari-lari dan bermain, tanpa perlu memecahkan dinding.

“Pada peringkat kehidupan kemudian apabila anak-anak menjadi lebih dewasa, pasangan boleh memilih untuk mereka semula flat berdasarkan keperluan baru mereka seperti mencipta bilik tidur atau mereka bentuk semula ruang tamu,” katanya.

Encik Lee berkata golongan muda Singapura memberi maklum balas semasa inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore bahawa mereka mahukan lebih fleksibiliti untuk mengkonfigurasi ruang di rumah berdasarkan keperluan mereka pada peringkat kehidupan yang berbeza.

“Kami mengambil semula idea ini, dan bekerjasama dengan arkitek dan jurutera kami untuk melihat apa yang boleh dilakukan,” katanya.

HDB berkata pada 27 Mei bahawa pembeli boleh memilih susun atur ‘flat putih’ apabila mereka dijemput untuk menempah flat. Mereka yang tidak memilih susun atur ini akan menerima susun atur flat berdinding seperti biasa.

Encik Lee berkata pemerintah akan memastikan flat BTO mampu dimiliki dan mudah diakses.

Lebih lapan daripada 10 keluarga pemohon kali pertama yang membeli flat HDB baru atau dijual semula mempunyai nisbah perkhidmatan gadai janji sebanyak 25 peratus atau kurang apabila mereka mengambil kunci flat mereka, katanya. Ini bermakna mereka boleh membayar pinjaman HDB mereka menggunakan sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), dengan sedikit atau tiada bayaran tunai.

Beliau menambah jika anak muda Singapura memutuskan untuk membeli flat sejurus mula bekerja atau tamat perkhidmatan negara, mereka juga akan menerima bantuan berupa bayaran pendahuluan awal lebih rendah.

Daripada pelaksanaan jualan BTO pada Jun, bayaran pendahuluan untuk pasangan yang layak untuk penilaian pendapatan tertunda akan diturunkan kepada 2.5 peratus daripada harga tetap, turun daripada 5 peratus, di bawah Skim Pendahuluan Berperingkat HDB.

Encik Lee berkata pihak berkuasa akan terus memastikan percampuran sosial (dari pelbagai lapisan masyarakat) yang baik di bandar-bandar HDB dengan sistem perumahan awam di sini adalah adil dan boleh diakses oleh semua rakyat Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg