Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Herbal Pharm agih pakej bantuan kepada 200 keluarga pendapatan rendah

Aug 11, 2024 | 3:44 PM
Pengagihan pakej yang mengandungi keperluan harian kepada keluarga berpendapatan rendah adalah sebahagian daripada inisiatif sambutan ulang tahun ke-20 Herbal Pharm, ‘Charity on Wheels’ yang diadakan pada 11 Ogos.
Pengagihan pakej yang mengandungi keperluan harian kepada keluarga berpendapatan rendah adalah sebahagian daripada inisiatif sambutan ulang tahun ke-20 Herbal Pharm, ‘Charity on Wheels’ yang diadakan pada 11 Ogos. - Foto HERBAL PHARM

Sekitar 200 keluarga berpendapatan rendah, tidak kira bangsa dan agama, di seluruh Singapura menerima pakej keperluan harian yang bernilai lebih $100 setiap satu pada 11 Ogos.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif sambutan ulang tahun ke-20 Herbal Pharm, ‘Charity on Wheels’.

Herbal Pharm telah bekerjasama dengan enam kelab menunggang motosikal dan sekitar 100 penunggang motosikal telah terlibat secara sukarela untuk membantu mengedarkan 200 pakej itu. 

“Acara ini mencerminkan dedikasi kami untuk menyokong masyarakat dan membuat perubahan dalam kehidupan mereka yang paling memerlukan,” ujar pengasas dan pengerusi lembaga Herbal Pharm, Encik Vejaiyan G, yang berharap dapat melakukannya setiap tahun.

Acara ‘Charity of Wheels’ diadakan buat julung kalinya.

Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Herbal Pharm, Cik Logeswari Shivaprakash, ia “bukan usaha amal pertama.”

“Kami sudah lama beramal, tetapi sejak pandemik Covid-19 bermula, kami tidak dapat mengagihkan makanan dan keperluan lain seperti dulu. Seperti Hari Raya Puasa dan perayaan lain, kami memberi makanan kepada yang memerlukan dan sebagainya. Malah sehingga kini, kami memberikan makanan kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) secara bulanan.

“Namun, ‘Charity of Wheels’ adalah kali pertama kami mencuba dan kami juga memberikan produk kami. Saya rasa usaha kami berjaya,” tambahnya.

Setiap pakej mengandungi keperluan harian seperti minyak, beras, gula, garam, Milo, biskut dan suplemen Herbal Pharm.

Sebanyak 200 keluarga berpendapatan rendah di seluruh Singapura menerima pakej yang setiap satu bernilai lebih $100 dan mengandungi keperluan harian seperti minyak, beras, gula, garam, Milo, biskut serta suplemen Herbal Pharm.
Sebanyak 200 keluarga berpendapatan rendah di seluruh Singapura menerima pakej yang setiap satu bernilai lebih $100 dan mengandungi keperluan harian seperti minyak, beras, gula, garam, Milo, biskut serta suplemen Herbal Pharm. - Foto BH oleh BATRISYIA BAHARIM

Enam kelab penunggang motosikal – BMW Riding Kakis, Harley Riders Singapore, Annaco, Virulent MC, Goldwingers dan SG Marshal – turut berganding bahu dalam menjayakan pengagihan tersebut.

Salah seorang sukarelawan penunggang motosikal ialah pengasas BMW Riding Kakis, Encik Mohamed Tajudin Samat, 60 tahun.

Encik Tajudin, atau lebih dikenali sebagai Pak Din dalam kalangan masyarakat bermotosikal, berkata: “Kami berasa bangga menjadi sebahagian daripada acara amal ini. Malah, sebelum ini, kami juga melakukan beberapa acara amal, bukan sahaja untuk Herbal Pharm, tetapi untuk organisasi seperti Muhammadiyah, 4PM, dan Jamiyah. Kami secara aktif melakukan kerja amal bukan sahaja di Singapura tetapi juga di Malaysia dan Thailand.”

Pengasas BMW Riding Kakis, Encik Mohamed Tajudin Samat, 60 tahun, adalah salah seorang daripada 100 sukarelawan penunggang motosikal yang terlibat dalam pengagihan pakej bagi inisiatif ‘Charity on Wheels’ yang diadakan pada 11 Ogos.
Pengasas BMW Riding Kakis, Encik Mohamed Tajudin Samat, 60 tahun, adalah salah seorang daripada 100 sukarelawan penunggang motosikal yang terlibat dalam pengagihan pakej bagi inisiatif ‘Charity on Wheels’ yang diadakan pada 11 Ogos. - Foto BH oleh BATRISYIA BAHARIM

“Semoga usaha dan inisiatif amal sebegini berterusan selamanya. Mungkin saya tidak akan ada untuk selamanya kerana usia pun sudah lanjut, tetapi semoga usaha baik sebegini akan berterusan, membantu golongan yang memerlukan dan mencapai apa yang kami inginkan,” ujar Encik Tajudin, pesara yang telah menubuhkan kelab BMW Riding Kakis pada 2018 dan kini mempunyai sekitar 360 ahli penunggang motosikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg