Satu hibrid orkid baharu yang menampilkan rona merah jambu seakan-akan warna bunga sakura, telah dinamakan sempena Puteri Aiko dari Jepun.

Dikenali sebagai Dendrobium Aiko Naishinno Denka, hibrid orkid itu menghasilkan bunga yang tahan lama, dengan sepal dan kelopak berwarna putih serta bahagian bibir bunga itu berwarna merah jambu.

Orkid itu mempunyai pertalian genetik dengan hibrid orkid yang pernah dinamakan sempena ibu bapa Puteri Aiko.

Beliau menerima jambakan hibrid orkid yang dinamakan sempena nama ibu dan dirinya sendiri itu semasa menghadiri satu majlis di Taman Orkid Negara pada 19 November.

Puteri Aiko, 24 tahun, berada di Singapura bagi lawatan rasmi lima hari dari 17 hingga 21 November atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam, dan sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Jepun.

Beliau turut diperkenalkan kepada orkid Dendrobium Naruhito Kotaishi Denka dan Dendrobium Masako Kotaishi Hidenka, yang dinamakan sempena ibu bapanya, Maharaja Naruhito dan Permaisuri Masako, bagi meraikan perkahwinan mereka pada 1993.

Bunga orkid amat dihargai dalam budaya masyarakat Jepun dan sering dijadikan hadiah bagi meraikan majlis perniagaan, pembukaan pejabat korporat dan pelbagai acara yang membawa keberuntungan.

Di Singapura, orkid lazimnya dinamakan sempena tetamu kenamaan asing yang berkunjung ke negara ini sebagai tanda muhibah dan persahabatan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Sehingga kini, lebih 280 hibrid orkid telah dinamakan sempena tokoh kenamaan, sekali gus mencerminkan keunikan inisiatif diplomatik dua hala yang diambil Singapura.

Selepas menghadiri majlis tersebut, Puteri Aiko bertemu dengan Pemangku Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di Istana.

Dalam satu hantaran Facebook pada 19 November, Encik Gan berkata beliau teruja untuk bertemu Puteri Aiko, sambil menyifatkan Jepun sebagai “rakan kongsi utama” dalam pembangunan Singapura.

Encik Gan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata: “Syarikat-syarikat Jepun merupakan antara pelabur terawal kita, yang membantu mewujudkan peluang pekerjaan serta industri baharu.

“Mereka terus memainkan peranan penting dalam ekonomi kita, dengan lebih 5,300 syarikat Jepun beroperasi dalam sektor-sektor seperti pembuatan, kewangan, teknologi, dan runcit. Sebahagian besar daripada syarikat itu kini merupakan nama yang dikenali ramai.

“Kerjasama kita turut merangkumi bidang-bidang seperti teknologi digital, keselamatan, tenaga, ekonomi hijau, serta pertukaran antara rakyat.”

Sehubungan itu, Encik Lee dalam hantaran Facebook pada 19 November berkata beliau dan Puteri Aiko telah bertukar pandangan mengenai isu-isu yang membelenggu Jepun dan Singapura, termasuk cara menyokong warga emas kekal aktif dan giat bersosial, semasa pertemuan mereka.

“Terdapat banyak ruang untuk pembelajaran dan kerjasama dua hala dalam bidang ini,” katanya.

Kedua-dua negara berdepan isu penduduk yang semakin menua, dengan Singapura dan Jepun kini berdepan masyarakat yang sangat tua.

Menukil laporan tahunan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) yang terkini, 21.4 peratus atau lebih seperlima warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas pada 2026, manakala hampir 3 dalam 10 (29.6 peratus) warga Jepun berusia 65 tahun dan ke atas paa tempoh yang sama, menukil data terkini Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.