Masyarakat Islam Singapura digalak menyumbang kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) demi membantu menyokong institusi keagamaan setempat seperti masjid, madrasah serta memenuhi keperluan masyarakat.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah melancarkan WMS pada Ogos 2024 bagi memudahkan masyarakat Islam setempat mewakafkan harta mereka.
Usaha itu juga dilakukan bagi memastikan terdapat wadah pendanaan yang mampan bagi menampung keperluan masa depan masyarakat Islam setempat.
Biarpun masyarakat Islam di Singapura mempunyai dana masyarakat sedia ada seperti tabung masjid dan Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), kedua-dua dana tersebut adalah untuk keperluan sedia ada, seperti menampung kos operasi masjid contoh gaji kakitangan, pembiayaan utiliti dan program masjid, jelas Ketua Pembangunan Dana Masyarakat, Cik Nur Ayuni Affandi Salleh.
Oleh itu, WMS ditubuhkan agar institusi setempat mempunyai dana sokongan yang lebih mampan dan mampu menampung keperluan akan datang, khususnya yang memerlukan dana besar dalam masa 30 tahun hingga 50 tahun mendatang.
Selain masjid, WMS juga bakal menyokong institusi keagamaan lain seperti madrasah dan daya usaha pembangunan asatizah, yang merangkumi perbelanjaan bagi penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Ia juga bakal dimanfaatkan untuk memberi sokongan kepada masyarakat, terutama semasa krisis, dalam bentuk bantuan kewangan bagi program sosioagama yang direka bagi memperkukuhkan masyarakat Islam setempat.
Selaras dengan itu, WMS merupakan salah satu wakaf pelbagai aset yang pertama di Singapura.
Sumbangan kepada WMS boleh dilakukan dengan memberikan sedekah sekali sahaja atau secara berulang, menerusi kad kredit atau debit di www.wakaf.sg.
Wadah lain seperti Giro juga bakal disediakan bagi memberi pilihan lebih rencam kepada orang ramai.
Selain itu, masyarakat juga boleh mempertimbang menyumbang kepada WMS pada masa hadapan menerusi penggunaan alat perancangan legasi Islam seperti penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), penamaan insurans, atau wasiat.
Menurut Cik Ayuni, seperti semua wakaf sedia ada, agihan WMS juga perlu dibincangkan pada peringkat Jawatankuasa Pengagihan Wakaf bagi memastikan agihan dibuat secara adil berdasarkan keperluan masyarakat.
Jawatankuasa yang dipengerusikan seorang anggota Majlis Tertinggi Muis dan turut dianggotai Ketua Eksekutif Muis akan membuat saranan tentang dasar pengagihan wakaf, jumlah yang diagihkan dan peruntukan dana wakaf yang diuruskan Muis.
Wakaf terawal Singapura, iaitu Wakaf Masjid Omar Kampong Melaka, direkodkan pada 1820 dan didermakan pedagang Arab, Syed Omar Ali Aljunied. Beliau juga merupakan wakif bagi Wakaf Bencoolen, yang kini menempatkan Masjid Bencoolen serta beberapa hartanah di Bencoolen Street. Kededua wakaf ini, meskipun telah berkurun ditubuhkan, masih lagi dinikmati masyarakat Islam sehingga hari ini.
Sejak lewat 1970-an, negara ini tidak lagi menyaksikan derma dalam bentuk aset hartanah untuk dijadikan wakaf. Justeru, penubuhan WMS menjadi titik penting dalam sejarah masyarakat Islam Singapura menghidupkan semula amalan berwakaf secara kolektif.
“Dengan adanya WMS, masyarakat Islam hari ini mampu menyumbang kepada kelestarian institusi penting kita, seperti masjid dan madrasah, agar terus dinikmati cucu-cicit kita pada masa akan datang.
“Ia juga satu peluang bagi masyarakat menunaikan sedekah jariah yang membawa manfaat kepada diri kita kelak,” kata Cik Ayuni.
Layari laman web Wakaf Masyarakat Singapura, www.wakaf.sg, untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg