Wacana intelektual seharusnya dibebaskan daripada kepompong ‘menara gading’ dunia akademik dan dikembalikan kepada masyarakat, dengan menjadikan Kampong Gelam sebagai pusat utamanya.

Berdasarkan sejarah, Kampong Gelam merupakan hab penting bagi penerbitan Melayu dan perdebatan politik yang menghimpunkan golongan ‘intelligentsia’ atau cerdik pandai Melayu ke satu kawasan.

Zamil Utama (Principal Fellow) dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkongsi bahawa Pengajian Melayu kontemporari kini terlalu berlandaskan teori dan terpisah daripada realiti, sehingga gagal menangani kemajuan sebenar atau identiti masyarakat.

Bagi mengatasi masalah ini, beliau mencadangkan agar ruang seperti Kampong Gelam dan Taman Warisan Melayu (TWM) dimanfaatkan untuk membincangkan cabaran semasa secara kritis, sekali gus membina warisan pemikiran kritis demi masa depan masyarakat Melayu.

“Kalau berbicara tentang wacana intelektual, seringkali kita lihat ramai yang akan katakan ini adalah ‘menara gading’ ataupun perbincangan yang diadakan di peringkat universiti untuk orang pandai saja.

“Tapi itu tidak benar sebenarnya. Kadangkala, kita ada wacana ataupun golongan yang selalu mahu memikirkan tentang masyarakat tapi kita tidak ada ruang untuk duduk bersama membincangkan aspek-aspek ini.

“Jadi, saya fikir dalam masa yang sama, kita ada Taman Warisan Melayu.

“Kita juga perlu adakan ruang di mana kita boleh mengumpulkan pemikir kita atau mereka yang minat tentang aspek perdebatan seperti identiti dan sebagainya, dan ia boleh bertempat di kawasan Kampong Gelam,” ujar Dr Norshahril, yang juga Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Kampong Gelam pernah menyaksikan pertubuhan seperti Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang diasaskan pada 1926 oleh Encik Mohd Eunos Abdullah.

Menurut laporan arkib Berita Harian (BH), beberapa cendekiawan Melayu, selain Encik Mohd Eunos, seperti Dr Abdul Samad, Haji Ambo Solo Haji Omar dan Abdul Manan Mohamed Ali, telah berkumpul dan mengadakan mesyuarat di Istana Kampong Gelam.

Di situ, mereka menekankan perlunya satu badan untuk mewakili suara dan kepentingan masyarakat Melayu.

Oleh itu, KMS ditubuhkan untuk menjadi wakil masyarakat Melayu dalam menjamin hak-hak dan kebebasan mereka.

Kawasan yang sama juga pernah menjadi hab percetakan dan suratkhabar Melayu yang rancak dengan adanya, antara lain, Al-Ahmadiah Press, di Jalan Sultan, dan Royal Press yang ditukar namanya kepada Malaysia Press pada 1962, di North Bridge Road.

Justeru, Dr Norshahril menyarankan agar TWM dan Kampong Gelam dapat dimanfaatkan sebagai ruang menghimpunkan para intelek Melayu.

Selain itu, melalui unit penyelidikan TWM dan siri kuliah MHF, kaum cerdik pandai Melayu dari seluruh Nusantara dapat dihimpunkan untuk terlibat dalam wacana yang lebih bermakna dan terangkum.

MHF melancarkan Siri Cendekiawan Lestari (CLS) demi merakam pandangan tokoh dan ilmuan masyarakat setempat.

Siri Sembang Ilmu pula untuk golongan belia berwacana, dan Wacana Warisan pula merupakan siri kuliah dalam talian berkenaan isu sosial.

Dalam pada itu, penubuhan unit penyelidikan baharu TWM telah diumumkan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) mengenai ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 5 Mac.

Mengulas lebih lanjut, Dr Norshahril, selaku Pengerusi, berkata unit tersebut dapat memainkan peranan serupa dalam perbincangan mengenai kedudukan Melayu di Singapura dan di Nusantara.

Beliau menggariskan tiga matlamat unit itu.

Pertama, bagi memahami kedudukan unik orang Melayu di Singapura serta bagaimana mereka berinteraksi dan dipengaruhi oleh landskap sosiobudaya di rantau sekeliling.

Kedua, peralihan tumpuan daripada teori besar yang bersifat akademik antarabangsa kepada isu warisan lebih penting dan nyata di peringkat akar umbi.

Ini dapat dilakukan dengan memberi ruang kepada golongan tokoh di pinggiran, yang kurang dikenali untuk berkongsi karya mereka, sekali gus memastikan wacana sejarah tidak lagi dikuasai oleh sudut pandang Eropah (orientalis) semata-mata.

Matlamat terakhir ialah bagi melestarikan warisan melalui kerjasama antara golongan pakar yang sudah mapan dengan golongan muda.

“Saya tidak melihat ini sebagai satu usaha menuntut (sesuatu milik kita), tetapi lebih kepada bagaimana kita memastikan aspek budaya ini kekal dekat dengan identiti kita.

“Mungkin salah satu usaha unit kajian ini adalah untuk melihat (warisan) bukan sebagai sesuatu yang statik atau eksklusif milik orang Melayu, tetapi menelusuri evolusi dan sejarahnya, serta memahami peranan orang Melayu dalam mengangkat dan ‘mempakej’ semula budaya ini menjadi sesuatu yang lebih baik dan boleh kita banggakan,” ujar Dr Norshahril.