Seorang ahli arkeologi terkenal dan individu pertama yang menjalankan penggalian arkeologi di sini pada 1984, Profesor John Miksic, telah meninggal dunia pada 25 Oktober di usia 79 tahun.
Dr Miksic meninggal dunia akibat pneumonia, kata isterinya Dr Goh Geok Yian – seorang profesor madya sejarah di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) – yang ditukil dalam laporan The Straits Times.
Mendiang Dr Miksic menghidap penyakit melanoma, sejenis barah kulit, sejak 2021, ujar Dr Goh. Pasangan itu tidak mempunyai anak.
Dr Miksic ialah profesor emeritus pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS). Bidang penyelidikannya merangkumi arkeologi, antropologi, kajian sejarah, geologi dan geofizik.
Beliau mendirikan rumah tangga bersama Dr Goh pada 2018, dengan Dr Goh menyifatkan suaminya menyukai bidang yang diceburi dan terus bekerja “walaupun beliau menghadapi kesukaran menulis”.
Dr Goh menambah Dr Miksic ingin terus berinteraksi dengan pelajarnya walaupun sedang sakit.
“Beliau seorang yang berdedikasi dan komited untuk menjadi ahli arkeologi dan cendekiawan.
“Saya ingin beliau dikenang kerana bidang yang paling dicintainya,” ujar Dr Goh.
Minat Dr Miksic terhadap arkeologi dipupuk ketika beliau membesar sebagai kanak-kanak di sebuah ladang di Amerika Syarikat, memandangkan datuk beliau sering menemui mata anak panah masyarakat Iroquois, iaitu suku kaum orang asli Amerika.
Beliau ke Singapura buat kali pertama pada 1968 semasa berkhidmat dengan Peace Corps – agensi bebas yang melantik dan mengerahkan sukarelawan berpangkalan di Amerika Syarikat – di Kedah dan menetap di Singapura sejak 1987.
Beliau menjadi salah seorang pakar terkemuka dalam sejarah Singapura.
Menurut artikel di laman web rasmi NUS, Dr Miksic dijemput ke Singapura untuk menjalankan penggalian ujian arkeologi pertama di Fort Canning.
Beliau juga terlibat dalam penggalian arkeologi lain selepas itu, yang mendedahkan lebih banyak fakta mengenai Singapura ratusan tahun sebelum kedatangan Sir Stamford Raffles ke pulau ini pada 1819.
Beliau merupakan ketua pertama bagi unit arkeologi di Iseas-Institut Yusof Ishak dari 2011 hingga 2014.
Pada 2018, beliau menjadi individu pertama yang memenangi Hadiah Sejarah Singapura NUS sekaligus meraih wang tunai $50,000.
Anugerah itu diberikan setiap tiga tahun dan dikenali sebagai anugerah dengan wang tunai paling besar seumpamanya di sini.
Dr Miksic memenangi hadiah itu kerana karya bukunya bertajuk Singapore And The Silk Road Of the Sea, 1300-1800.
Berteraskan bukti hasil penemuan arkeologi, buku itu mengkaji sejarah prakolonial Singapura dalam konteks Asia yang lebih besar.
Dr Miksic dan Dr Goh, bersama ahli arkeologi, Encik Kwa Chong Guan, merupakan individu yang dirujuk bagi reka bentuk Galeri Warisan Fort Canning, yang dibuka pada 2022.
Upacara berkabung akan diadakan di dewan serbaguna di Blok 660E Jurong West Street 64 mulai 25 Oktober, manakala pengebumiannya akan diadakan pada 29 Oktober dan beliau akan disemadikan di Krematorium Mandai pada hari yang sama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg