Setiap kali awal Muharam tiba, kita memasuki lembaran baru dalam kalendar Hijrah. Bagi sesetengah orang, ia satu kesempatan untuk menilai kembali perjalanan hidup sepanjang setahun lalu.

Ada mengenang nikmat yang diterima, ada bersyukur atas kejayaan yang dicapai, dan ada juga masih berusaha bangkit daripada pelbagai cabaran dan ujian kehidupan.

Di sebalik semua itu, mungkin ada satu soalan yang jarang kita tanyakan kepada diri sendiri: Apakah yang telah aku tinggalkan kerana Allah sepanjang tahun lalu?

Mungkin jawapannya dapat ditemui dalam sabda Rasulullah saw: “Dan orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang.” (Riwayat Al-Bukhari)

Kita sering mengaitkan perubahan dengan perkara besar. Kenaikan pangkat, pindah rumah atau peningkatan taraf hidup. Semua ini sebahagian daripada perjalanan kehidupan yang wajar disyukuri.

Namun, peristiwa hijrah Rasulullah saw mengajar kita bahawa perubahan bukan sekadar perubahan keadaan, tetapi perubahan yang membawa seseorang lebih dekat kepada Allah swt.

Hijrah Rasulullah saw dari Makkah ke Madinah bukan suatu perjalanan mudah. Ia menuntut pengorbanan, kesabaran dan keyakinan tinggi kepada Allah.

Namun mesej hijrah tidak terhenti pada peristiwa sejarah tersebut.

Sebahagian hijrah paling besar berlaku apabila seseorang berusaha berpindah daripada kelalaian kepada ketaatan, dan daripada kelemahan kepada kekuatan iman.

Hadis itu memberikan dimensi sangat mendalam tentang makna hijrah. Tidak semua orang berpeluang melakukan perpindahan besar dalam hidupnya. Namun, setiap orang ada sesuatu yang boleh ditinggalkan kerana Allah swt.

Mungkin ada kemarahan masih disimpan dalam hati. Mungkin ada ibadah masih sering diabai, atau mungkin ada perkara kita tahu Allah tidak reda tetapi kita masih lakukan atas alasan kebiasaan dan keselesaan.

Tidak semua kemajuan diukur melalui apa yang kita miliki. Ada kalanya kemajuan paling besar berlaku apabila kita meninggalkan sesuatu yang menghalang kita mendekati Allah swt.

Seorang yang berjaya menahan kemarahannya mungkin sedang berhijrah. Seorang yang berusaha memperbaiki hubungan dengan ibu bapanya mungkin sedang berhijrah.

Seorang yang mula menjaga solatnya dengan lebih baik mungkin sedang berhijrah. Hakikatnya, sebahagian hijrah yang paling bermakna tidak dapat dilihat oleh manusia. Ia berlaku dalam hati. Ia berlaku apabila seseorang memilih ketaatan kepada Allah walaupun tiada siapa mengetahuinya.

Kerana boleh jadi, satu perkara yang kita tinggalkan kerana Allah akan membawa kita lebih dekat kepada rahmat dan keredaan-Nya berbanding seribu perkara lain yang kita kejar untuk diri kita sendiri.

Penulis Ketua Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).

SEKILAS

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Khidmat Pungutan Derma Dari Rumah. Sila hubungi pejabat masjid di talian 6242-7244 untuk janji temu.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel screenshot, atau tangkap layar, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg

3. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

4. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘MUP MAKM’ di bahagian ‘Rujukan’.

5. Langsung ke pejabat masjid. Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Hari Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang.