LEBIH 700 penduduk sama-sama bersenam pagi ini di sekitar estet Chua Chu Kang dalam usaha menggalak gaya hidup sihat.
Acara senaman berjalan pantas 'Hijrah Walk' itu merupakan usaha bersama antara masjid setempat dan badan akar umbi di GRC Chua Chu Kang, Divisyen Limbang dan Divisyen Yew Tew demi menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu.
Ia dianjurkan bersama Masjid Al-Khair, Masjid Al-Firdaus dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Persatuan Rakyat (PA) dari GRC Chua Chu Kang, Limbang dan Yew Tee.
Peserta berkumpul seawal sebelum 8 pagi di mana acara dimulakan bersama Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad, dan Encik Gan Kim Yong, yang juga Menteri Kesihatan.
Mereka kemudian berjalan sepanjang 1.8 kilometer di sekitar estet, dengan acara senaman itu berakhir di Kelab Masyarakat Keat Hong.
Di kelab masyarakat itu, peserta dijemput menjamu selera nasi lemak sihat yang dimasak menggunakan beras perang.
Pengerusi jawantankuasa penganjur acara itu, yang juga naib pengerusi Masjid Al-Khair, Encik Abdul Wahab Ahmad, berkata:
"Ini kali pertama acara berjalan sedemikian dianjurkan di sini dan responsnya menggalakkan.
"Dengan sokongan berterusan rakan masyarakat dan relawan berdedikasi, saya berharap kerjasama antara MAEC PA dan masjid setempat akan mencipta lebih banyak acara dan kegiatan kemasyarakatan untuk menyebar mesej gaya hidup dan diet sihat demi mempertingkat perjuangan terhadap kencing manis, seperti disebutkan PM Lee dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaannya baru-baru ini."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg