SERAMAI 3,912 orang telah ditangkap sepanjang lapan bulan pertama tahun ini kerana menggunakan dan memiliki rokok elektronik (e-rokok) atau e-vaporizer.
Angka tersebut membentuk sebahagian daripada 10,754 orang yang telah ditangkap kerana menggunakan dan memiliki e-rokok antara Februari 2018 dengan Ogos tahun ini.
Menyatakan demikian dalam satu kenyataannya semalam, jurucakap Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan angka tertinggi di mana mereka yang ditangkap kerana menggunakan dan memiliki e-rokok sejauh ini adalah pada tahun lalu - seramai 4,697 orang yang ditangkap.
Dua tahun lalu seramai 1,266 orang ditangkap; 811 orang (2019); dan 68 orang (antara Februari hingga Disember 2018).
"Singapura mengamalkan pendekatan serampang berbilang bagi menangani penggunaan e-rokok, terdiri daripada perundangan, penguatkuasaan, pendidikan awam dan kaunseling,'' kata jurucakap itu.
Bagi menangani masalah penggunaan e-rokok dalam kalangan belia, Kementerian Kesihatan (MOH), Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB), HSA dan Kementerian Pendidikan (MOE) bekerjasama untuk menekankan tentang bahaya pemilikan dan penggunaan e-rokok di sekolah menerusi strategi pendidikan dan penguatkuasaan yang disasarkan terhadap golongan itu.
LAPORAN SELANJUTNYA: HSA, laman e-dagang kerja rapat pantau jualan e-rokok dalam talian
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg