Sekitar enam daripada 10 keluarga pemohon kali pertama, dan dua daripada 10 bujang pemohon pertama yang memohon flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di bawah Skim Penjagaan Keluarga (FCS) (Tinggal Berhampiran) baru mendapat nombor giliran dalam pelancaran BTO Julai, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Dalam kalangan pemohon keluarga kali pertama yang mendapat nombor giliran dalam jualan tersebut, ia merupakan percubaan pertama untuk kira-kira lapan daripada 10 pemohon, dan percubaan kedua untuk satu daripada 10 orang, manakala pemohon selebihnya mencuba buat kali ketiga atau lebih.
Sementara itu, bagi skim jualan flat baki (SBF), kira-kira tujuh daripada 10 keluarga kali pertama yang memohon di bawah skim berdekatan menerima nombor giliran, tambahnya.
Encik Chee berkata demikian di Parlimen pada 15 Oktober sebagai respons kepada soalan Anggota Parlimen (AP), Cik Jessica Tan (GRC East Coast), yang ingin mengetahui tentang kadar kejayaan skim yang memberi keutamaan akses kepada flat HDB untuk keluarga yang ingin tinggal bersama atau berdekatan antara satu sama lain.
Merujuk kepada projek BTO Simei Symphony pada Julai, Cik Tan berkata ramai keluarga telah menghubunginya untuk merayu bagi pihak mereka selepas mereka tidak berjaya mendapatkan flat walaupun mempunyai undi tambahan.
Beliau menambah ramai daripada keluarga ini berharap untuk mendapatkan flat supaya mereka boleh tinggal berhampiran dan menjaga ahli keluarga mereka.
Cik Tan bertanya sama ada proses pengundian boleh diperhalusi untuk memberi lebih keutamaan kepada mereka yang telah beberapa kali cuba mendapatkan flat sedemikian di kawasan yang dekat dengan keluarga.
Beliau juga mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Negara (MND) mempertimbangkan untuk memperluaskan kawasan berdekatan.
Mengulas tentang cadangan tersebut, Encik Chee berkata keutamaan telah pun diberikan di bawah pelbagai skim untuk meningkatkan peluang kepada pelbagai kumpulan mendapat flat BTO.
Sebagai contoh, beliau berkata bahawa pemohon kali pertama menerima satu undi tambahan.
Beliau berkata 30 peratus daripada flat diketepikan untuk mereka yang memohon di bawah FCS.
Bagaimanapun, beliau menambah “hasil pengundian tidak boleh dijamin kerana ada unsur tuah”. Ini terutamanya untuk projek popular dan untuk flat lebih besar, di mana bekalan lebih rendah daripada permintaan.
Bagi meningkatkan peluang lebih ramai orang boleh mendapatkan flat, pemerintah sedang membina lebih banyak flat dan baru sahaja mengumumkan lebih 9,000 flat akan dilancarkan pada Oktober.
“Dan kami mahu menggalakkan pemohon untuk juga mempertimbangkan bagi memohon projek di mana terdapat bekalan lebih besar, kerana kadar permohonan akan menjadi lebih baik,” kata Encik Chee.
Tambahnya, semasa proses permohonan, kadar permohonan mengikut estet dan jenis flat akan disediakan dalam talian dan dikemas kini beberapa kali sehari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg