Sekitar dua pertiga atau 65 peratus daripada 1,031 tuntutan Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT) yang difail antara 2020 dengan 2024 melibatkan bunyi bising yang keterlaluan, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, di sidang Parlimen pada 14 Oktober.
Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) mengenai saluran pengantaraan masyarakat, beliau berkata tiga pertikaian CDRT yang tertinggi selama tempoh lima tahun lalu ialah berkaitan bunyi bising keterlaluan, getaran berlebihan dan pembuangan sampah merata-rata.
Soalan tersebut diutarakan setelah kes serangan pisau yang meragut nyawa di Yishun pada 24 September.
Dalam kes itu, mangsa telah memohon pengantaraan dengan jirannya pada Jun namun tidak menerima sebarang jawapan.
Encik Murali akur sesetengah rakyat Singapura ‘difahami prihatin’ selepas kejadian itu.
Namun beliau berkata pemerintah akan meneruskan usaha sedia ada untuk memperkukuh Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF).
“Ini adalah proses berterusan bagi kes lebih sukar,” katanya.
“Bagaimanapun, tiada rangka kerja akan dapat menangani semua jenis pertikaian jiran atau mengekang tingkah laku individu tertentu, terutamanya keganasan.
“Tiada siapa yang harus menggunakan keganasan untuk menangani pertikaian jiran. Itu tanggungjawab peribadi,” tambahnya.
Encik Murali menambah, penduduk yang terjejas perlu menganggap CDRT sebagai pilihan terakhir kerana secara lazimnya, kebanyakan kes harus ditangani melalui pengantaraan atau oleh Unit Perhubungan Masyarakat (CRU).
Menjawab soalan mengenai jumlah pertikaian antara jiran yang melibatkan satu pihak menolak pengantaraan, Encik Murali menjelaskan kira-kira 1,300 kes pertikaian jiran telah dilaporkan kepada Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC) untuk pengantaraan sukarela dari November 2024 hingga Ogos 2025.
Namun, dalam kira-kira 50 peratus daripada kes yang dilaporkan, satu pihak tidak bertindak balas.
Manakala dalam 20 peratus kes lagi, sekurang-kurangnya satu pihak menolak secara langsung.
“Kementerian Undang-Undang (MinLaw) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk memastikan pertikaian yang lebih sesuai diarahkan kepada CMC untuk pengantaraan mandatori,” kata Encik Murali.
Dalam pada itu, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, berkata adalah tidak wajar dan tidak mampan untuk semangat kemasyarakatan Singapura jika pihak berkuasa bertindak sebagai barisan pertama untuk semua pertikaian antara jiran.
Encik Tan menambah bahawa rangka kerja CRU “bukan penyelesaian bagi pertikaian jiran, dan bukan pengganti asas kukuh norma masyarakat yang positif, hubungan kejiranan yang baik dan pilihan penyelesaian pertikaian masyarakat”.
Sebaliknya, CRU menyeimbangkan langkah pemerintah menguruskan pertikaian dengan meninggalkan ruang yang secukupnya kepada jiran untuk menyelesaikannya sendiri.
Pegawai CRU diberi pelbagai kuasa, termasuk mengeluarkan arahan untuk memaksa pihak terlibat menghadiri sesi pengantaraan di CMC.
Pasukan CRU juga akan menjalankan siasatan lanjut, memasang alat pengesan bunyi dan, dalam kes serius, mengeluarkan amaran serta perintah pemberhentian gangguan.
Lantas, menurut Encik Tan, sebagai langkah pencegahan dan jalan terakhir setelah semua usaha lain dijalankan, “CRU boleh merujuk kes gangguan paling serius dan berulang kepada HDB untuk mempertimbangkan pemerolehan wajib terhadap flat mereka”.
Namun beliau menegaskan tindakan itu hanya akan diambil setelah pertimbangan teliti dan penuh cermat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg