Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menjalankan satu siasatan menyeluruh bagi memastikan apa yang berlaku dan mengenal pasti ruang pembaikan menyusuli gangguan perkhidmatan MRT kepada Laluan Timur-Barat (EWL) pada 25 September, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Berkata demikian dalam catatan Facebooknya pada 25 September, Encik Chee berkata bahawa terdapat kemungkinan perkhidmatan kereta api biasa tidak dapat diteruskan pada 26 September.
“Saya berada di Beijing untuk Forum Pengangkutan Kemampanan Sejagat tetapi saya telah diberi taklimat oleh LTA tentang gangguan kereta api di sepanjang Laluan Timur-Barat yang menjejaskan perkhidmatan kereta api antara stesen Boon Lay dengan Queenstown.
“Seperti yang dikemas kini SMRT dan LTA, sebuah kereta api telah mengalami kerosakan semasa dalam perjalanan berhampiran stesen MRT Clementi.
“Apabila kereta api yang rosak itu ditarik balik, ia menyebabkan kerosakan pada landasan, termasuk rel ‘larian’ dan rel ketiga yang membekalkan kuasa kepada kereta api.
“Memandangkan kami tidak dapat meneruskan perkhidmatan biasa hari ini (25 September), SMRT akan menyediakan perkhidmatan kereta api ulang-alik antara Boon Lay dengan Jurong East (pertukaran dengan Laluan Utara-Selatan), dan antara Queenstown dengan Buona Vista (pertukaran dengan Laluan Circle). Perkhidmatan bas penyambung juga akan terus disediakan tanpa kos kepada penumpang.
“Terdapat kemungkinan perkhidmatan kereta api biasa tidak akan diteruskan esok (26 September); pasukan daripada SMRT dan LTA akan menyemak dan mengesahkan semasa waktu kerja kejuruteraan malam ini,” katanya.
Memandangkan murid Darjah 6 akan menduduki kertas Bahasa Inggeris mereka dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 26 September, Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) untuk “menyediakan kontingensi untuk mengurangkan kesan kepada pelajar kami”, tambah Encik Chee.
Dalam responsnya kepada media pada 25 September, SEAB berkata para pelajar yang menduduki kertas tulis PSLE bermula 26 September akan diberi tempoh sepenuhnya bagi kertas itu sekiranya mereka tiba di pusat peperiksaan sebelum peperiksaan itu berakhir, lapor The Straits Times (ST).
Para calon juga tidak akan dipersalah kerana lewat bagi peperiksaan akibat gangguan khidmat kereta api, kata SEAB.
Pengendali pengangkutan SMRT mula memaklumkan orang ramai mengenai gangguan tersebut di laman Facebooknya pada 9.52 pagi.
Kerosakan yang berlanjutan selama berjam-jam itu menjejas ramai penumpang dengan beberapa orang memberitahu ST bahawa mereka lewat ke tempat kerja selama lebih sejam.
LTA berkata bahawa sebuah kereta api Kawasaki Heavy Industries (KHI) generasi pertama, yang telah beroperasi lebih dari 35 tahun, mengalami kerosakan pada kira-kira 9 pagi ketika dalam perjalanan ke arah Timur di EWL berhampiran stesen Clementi.
SMRT membantu penumpang turun di stesen Clementi, dan kereta api ditarik balik ke depoh Ulu Pandan, kata LTA.
Semasa kereta api itu ditarik balik, mereka mengesan satu gangguan tenaga pada 9.25 pagi, yang menyebabkan kereta api di EWL antara stesen Queenstown dengan Boon Lay tergendala.
“Menurut penilaian awal kami, apabila kereta api rosak itu ditarik balik, ia menyebabkan kerosakan pada landasan, termasuk rel larian dan rel ketiga yang membekalkan kuasa kepada kereta api,” jelas LTA.
“Para penumpang dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan alternatif untuk meneruskan perjalanan mereka, dan menyemak pengumumam terkini di platform media sosial SMRT dan LTA, serta aplikasi MyTransport.”
Mulai 5 petang, SMRT juga menjalankan perkhidmatan kereta api ulang-alik berasingan antara stesen MRT Buona Vista dengan Queenstown, dan juga antara stesen Jurong East dengan Boon Lay, selang setiap 10 minit.
Sekitar tengah hari, papan pengumuman di MRT Buona Vista memaklumkan bahawa penumpang boleh menjangkakan masa perjalanan yang lebih lama antara Tuas Link dengan Outram Park dari kedua-dua arah. Sebanyak 18 stesen terjejas.
Kakitangan stesen juga telah dikerah supaya membantu penumpang.
Perkhidmatan bas percuma bagi kededua khidmat biasa dan khidmat penghubung perjalanan turut disediakan antara stesen Boon Lay dengan Queenstown.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi SMRT, Encik Seah Moon Ming, dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan, Encik Ngien Hoon Ping, memohon maaf di atas gangguan terbaru itu.
“Kami memahami sepenuhnya kesulitan, kemarahan dan kelewatan yang timbul daripada gangguan ini, dan kami amat kesal dengan kesannya terhadap perjalanan anda. Kami bekerja tanpa henti untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” tambah mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg