Syarikat teknologi pembinaan yang bersedia meneroka inovasi, menguji dan menggunakan penyelesaian robotik serta automasi akan menerima lebih banyak sokongan, umum Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.

Pemaju hartanah dan kontraktor juga akan dapat merujuk senarai rakan teknologi yang disahkan bagi projek JTC serta menggunakan teknologi ini dengan lebih yakin, katanya pada pameran teknologi pembinaan ConTech@PDD di Daerah Digital Punggol (PDD) pada 17 Julai.

Bagi menggalakkan inovasi, yuran sewa bagi sandbox – iaitu ruang untuk menguji teknologi – tidak dikenakan. Antara langkah lain, sokongan turut diberikan bagi membantu penyelesaian syarikat pemula yang terbukti berkesan dimanfaatkan industri selepas diuji.

Encik Chee berkata kemajuan besar telah dicapai melalui penyampaian digital bersepadu dan penggunaan kaedah pembinaan pasang siap.

“Mengikut keluasan lantai kasar, pembangunan baharu yang menggunakan kaedah ini meningkat daripada sekitar 20 peratus pada 2018 kepada kira-kira 70 peratus pada 2025,” katanya.

Penyampaian digital bersepadu ialah ruang kerja data digital yang menghubungkan pemaju, kontraktor dan pembina.

Encik Chee berkata projek seperti flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Long Island di East Coast dan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi akan terus memanfaatkan teknologi ini serta robotik kendiri dan kecerdasan buatan (AI) bagi membina dengan lebih baik, pantas dan mampan.

Pemerintah akan terus berkongsi risiko inovasi melalui projek perintis dan sandbox, termasuk menerusi Hab Inovasi Persekitaran Binaan (BEIH) di kampus Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) di Braddell.

BCA akan mengecualikan yuran sewa ruang sandbox teknologi di BEIH selama dua tahun bermula Julai.

Pada peringkat awal, pengecualian itu diberikan kepada pasukan yang menguji penyelesaian robotik dan automasi. Yuran sewa yang dikecualikan bernilai sekitar $15,000 hingga $100,000 selama tiga hingga enam bulan.

Pengecualian itu boleh diperluaskan kepada bidang lain sekiranya terdapat permintaan terhadap jenis teknologi lain, ujarnya.

JTC pula akan membuka sandbox di Kawasan Inovasi Jurong (JID) untuk menguji teknologi pembinaan kendiri berskala besar serta sistem peralatan pembinaan berat. Sejak penghujung 2025, penggunaan robot diwajibkan dalam tender pembinaan JTC.

Sejak dilancarkan pada 2023, BEIH telah menganjurkan lebih 170 sesi pertunjukan teknologi dan tapak ujian teknologi, termasuk kira-kira 60 penyelesaian robotik dan automasi.

Pemerintah juga bertekad menyediakan laluan jelas bagi membolehkan teknologi yang terbukti berkesan digunakan secara komersial, kata Encik Chee.

Dalam beberapa bulan akan datang, JTC akan melancarkan tender Kerjasama Perolehan Inovatif (IPP) bagi teknologi seperti robot pemeriksaan tapak pembinaan dan kren menara kawalan jauh.

Pendekatan perolehan itu mengurangkan halangan pentadbiran dan membolehkan syarikat memperluaskan inovasi tanpa memerlukan rekod prestasi yang panjang.

Encik Chee berkata peraturan perlu seiring dengan inovasi dan penggunaan teknologi dalam sektor persekitaran binaan, selain membantu perniagaan mengurangkan kos dan menjimatkan masa.

“Jika terdapat peraturan lapuk yang menimbulkan kerenah pentadbiran yang tidak perlu, sila maklumkan kepada kami,” katanya.