Permintaan sektor binaan S’pura dijangka kekal kukuh pada 2026
Permintaan sektor binaan S’pura dijangka kekal kukuh pada 2026
Hong Tat: Kontrak bernilai sekitar $47b hingga $53b dijangka dianugerahkan pada 2026
Permintaan sektor pembinaan di Singapura dijangka kekal kukuh pada 2026, dengan kontrak bernilai sekitar $47 bilion hingga $53 bilion dijangka dianugerahkan.
Angka itu sejajar dengan jumlah tahun 2025 iaitu sebanyak $50.5 bilion, serta berada dalam julat unjuran awal Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA).
Berucap di acara itu, beliau menggesa industri pembinaan supaya meneruskan usaha transformasi, termasuk memperluas penggunaan teknologi dan alat digital bagi menjimatkan masa, kos dan tenaga kerja.
“Jika kita terus menjalankan perniagaan seperti biasa, kita akan berdepan kekangan sumber, yang akan menjejas keupayaan sektor ini untuk merebut peluang pertumbuhan baru,” katanya.
Mengenai anggaran kontrak $47-$53 bilion itu, Encik Chee berkata sebahagian besar pertumbuhan ini akan dipacu oleh projek utama seperti pembangunan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi, peluasan Marina Bay Sands, pembinaan hospital masyarakat di Tengah, serta sambungan Laluan Downtown (DTL).
Bagi menyokong industri, beliau mengumumkan beberapa inisiatif, termasuk satu fasa baru Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) yang akan berkuat kuasa mulai 1 April, bagi membantu syarikat sekitaran binaan memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti.
Geran tersebut menyediakan perusahaan kecil dan sederhana (SME) pembiayaan sehingga 50 peratus daripada kos penggunaan penyelesaian digital.
Fasa semasa geran ini berlangsung dari April 2023 hingga Mac 2026, dan setakat ini lebih 1,100 firma telah memanfaatkannya.
Sebagai contoh, firma perunding kejuruteraan Novaars International menerima sokongan pembiayaan untuk melaksanakan sistem pemeriksaan bahagian luar bangunan berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang menghasilkan penjimatan sekitar 30 peratus dari segi tenaga kerja dan masa.
Senarai peralatan canggih dan penyelesaian digital yang diluluskan di bawah geran itu turut diperluaskan bagi merangkumi robot pembinaan serta penyelesaian yang memperkemas proses kerja, seperti pengurusan kontrak.
Syarikat yang pernah meraih manfaat sebelum ini juga boleh memohon fasa baru tersebut.
Encik Chee turut mengumumkan BCA dan Institut Pengurusan Projek (PMI) akan melancarkan rangka kerja yang dikemas kini bagi pengurus projek pada separuh kedua 2026, selaras dengan keperluan industri yang semakin berkembang.
Rangka kerja itu akan menyediakan latihan bagi membina kemahiran seperti pengurusan pihak berkepentingan dan rantaian bekalan, serta menawarkan kelayakan yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beliau menegaskan pengurus projek memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan tenaga kerja, kos dan masa yang berkesan sepanjang kitaran hayat projek.
Rangka kerja itu bertujuan melahirkan pengurus projek yang boleh dipercayai bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual, kos yang ditetapkan dan piawaian keselamatan.
Beliau turut menyentuh pemergian Dr Liu Thai Ker pada 18 Januari pada usia 87 tahun, dan menyifatkan beliau sebagai lambang jiwa pegawai awam.
Dr Liu dikenali sebagai perancang induk pertama Singapura yang membantu merancang 20 daripada 24 bandar besar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Untuk meneruskan jasa perintis seperti Dr Liu, Encik Chee berkata pembangunan bakat dengan kemahiran, kebolehan dan semangat merentas disiplin perlu diteruskan.
Encik Chee turut mengumumkan tempoh sah penyenaraian bagi panel perunding sektor awam akan dilanjutkan daripada satu kepada tiga tahun mulai 1 Jun, bagi mengurangkan beban pentadbiran firma.
Ketika ini, pendaftaran perlu diperbaharui setiap tahun.
Beliau berharap penjimatan masa dan kos ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkukuh keupayaan firma menarik dan mengekalkan bakat.

