Sedang Singapura berusaha menarik dan menambat hati syarikat berbilang negara (MNC) untuk melabur di negara ini bagi menyediakan peluang perniagaan untuk syarikat kecil dan sederhana (SME) di samping menjana pekerjaan yang baik untuk penduduk setempat, ia juga perlu terus mengasuh syarikat pemula setempat.
Cara ini akan membantu syarikat tempatan bagi menaiktarafkan operasi mereka dan memperluas kehadiran mereka di Singapura dan luar negara.
Menekankan demikian dalam ucapannya pada majlis penyampaian Anugerah Usahawan Tahunan Terbaik Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (Asme) pada 5 Julai, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (gambar) berkata:
“Dua langkah yang diambil ini tidak bercanggah dengan satu sama lain bahkan saling melengkapi dan saling menguatkan. MNC boleh meraih manfaat daripada asas yang kukuh golongan pembekal dan rakan kerjasama SME ini.
“SME juga boleh berkembang dengan memanfaatkan ilmu dan peluang perniagaan daripada MNC.”
Menurutnya, pihaknya ingin membantu syarikat setempat untuk memperluaskan jangkauan di luar Singapura, menukik peluang pertumbuhan dan sumber daripada rantau ini.
“Kami juga mahu menggalak lebih banyak kerjasama antara syarikat, yang pertama dalam kalangan mereka sendiri dan yang kedua bersama rakan kerjasama daripada luar negara,” ujar Encik Chee lagi.
Beliau menambah, kekal terbuka dan berhubung kait dengan dunia adalah pendekatan yang lebih baik, berbanding menutup pintu negara ini dan menyekat pengaliran dagangan, pelaburan dan bakat antarabangsa.
Bagi sebuah negara kecil seperti Singapura, jelas Encik Chee, memburu dasar yang melihat pada situasi dalaman negara akan membawa pada kesan malapetaka bagi perniagaan dan pekerja di sini.
Dalam membantu SME, pemerintah telah memperkenalkan Pakej Sokongan Perusahaan bernilai $1.3 bilion sebagai sebahagian Belanjawan 2024, meliputi rebat cukai pendapatan korporat; penyesuaian pada Skim Pembiayaan Perusahaan untuk membantu perniagaan meraih akses pada pembiayaan pinjaman dan lanjutan pada Kredit Perusahaan SkillsFuture dalam menyokong usaha transformasi dan latihan kemahiran.
Menurut Encik Chee lagi, dalam membolehkan SME merebut peluang dan kekal berdaya saing dalam ekonomi digital, program ‘SMEs Go Digital’, kendalian Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), menyediakan sumber seperti Pelan Digital Industri dan Ketua Pegawai Teknologi selaku platform perkhidmatan.
Sejauh ini, program itu telah menyokong lebih 90,000 syarikat.
Bagi lebih menyokong perusahaan dan pekerja dalam memanfaatkan teknologi digital bagi memacu pertumbuhan, Pelan Tindakan Perusahaan Digital (DEB) juga dilancarkan dan tertumpu pada tahap pendigitalan SME Singapura selanjutnya, memperkasa perusahaan agar bergerak lebih pantas dan menyokong mereka dalam menaiktarafkan pekerja untuk memanfaatkan sepenuhnya keupayaan digital.
DEB ini dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 50,000 SME dalam tempoh lima tahun mendatang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg