Hospital Alexandra (AH) yang dibangunkan semula dijangka dibuka secara berperingkat mulai 2028.
Terletak di Queenstown, hospital itu, yang sebelum ini hanya mempunyai 300 katil, akan diubah menjadi hospital lebih besar dengan 1,300 katil dengan penambahan dua bangunan tinggi baru, serta peningkatan lain.
Sebuah rumah penjagaan dengan kira-kira 400 katil juga akan dibina di kampus yang sama, namun ia terletak di bangunan berasingan dari dua bangunan tinggi itu.
AH dibina oleh British pada 1938 sebagai Hospital Tentera British Singapura. Pembangunan semulanya termasuk pembinaan jabatan kecemasan baru untuk menangani pandemik, yang bersambung dengan unit rawatan rapi dan dewan bedah.
Ambulans awam akan dapat membawa pesakit dari kawasan kemudahan ke jabatan kecemasannya. Pada masa ini, AH mempunyai pusat penjagaan segera 24 jam, bukan jabatan kecemasan.
Bercakap semasa upacara pecah tanah bagi pembangunan semula AH pada 15 Mei, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata ia sebahagian daripada usaha Singapura menyokong warga tua, termasuk meningkatkan kemudahan masyarakat dan prasarana bagi menjadi mesra warga emas.
Apabila dibuka, AH akan menjadi Hospital Besar Bersepadu, dengan model operasi unik yang membolehkan pesakit kekal di katil yang sama semasa menerima rawatan akut dan penjagaan lanjutan, atau step-down, sekali gus mengurangkan keperluan berpindah secara fizikal.
Projek pembangunan semula itu akan memastikan AH terus memainkan peranan penting di Queenstown, yang mempunyai salah satu populasi tertua di Singapura.
AH sebahagian daripada kelompok Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), iaitu satu daripada tiga kelompok penjagaan kesihatan awam di Singapura.
Dalam kelompok ini, Hospital Universiti Nasional (NUH), yang mempunyai 1,200 katil, berfungsi sebagai hospital penjagaan kecemasan dan trauma utama di barat Singapura.
NUH telah menjalankan pelbagai usaha penambahbaikan kampus, termasuk pembinaan Pusat Perubatan NUH pada 2013, yang menempatkan Institut Barah Universiti Nasional, Singapura (NCIS) dan pembinaan Pusat bagi Kesihatan Mulut Universiti Nasional, Singapura (NUCOHS) dan Institut Perubatan Kanak-Kanak Khoo Teck Puat – Universiti Nasional pada 2019.
Encik Ong berkata: “Bangunan-bangunan NUH, yang terdiri daripada wad, Jabatan Kecemasan, makmal diagnostik dan dewan bedah, berusia 40 hingga 50 tahun.
“Untuk memastikan NUH terus memenuhi keperluan penjagaan kesihatan daerah ini yang semakin berkembang, kami telah merancang untuk membangunkan semula seluruh kampus NUH.
“Pembangunan semula kampus NUH dijadualkan bermula pada 2025 dan dijangka mengambil masa lebih sedekad.”
Dalam pada itu, Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) juga telah melaksanakan peningkatan ketara baru-baru ini dengan mengadakan Kemudahan Penjagaan Peralihan Barat (TCF@West) yang menampung 200 katil.
Langkah ini memudahkan NTFGH memindahkan pesakit, yang berada dalam keadaan stabil, ke TCF@West.
Ini sementara pesakit menunggu pengaturan penjagaan jangka panjang, sekali gus membantu meringankan beban pesakit di hospital.
Kementerian Kesihatan (MOH) telah mula merancang untuk pembinaan hospital besar dan masyarakat bersepadu Tengah, yang juga akan dikendalikan oleh NUHS dan dijangka dibuka pada awal 2030-an.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg