Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah mengiklankan jawatan kosong bagi pegawai penyiasat khusus untuk membanteras kegiatan berkaitan vape yang dicampur racun etomidate, atau dikenali sebagai Kpod.
Menurut iklan di LinkedIn dan portal pencarian kerja Careers@Gov, HSA mencari pegawai penyiasat dan pegawai penyiasat kanan sepenuh masa, yang akan menjadi sebahagian pasukan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai aktiviti penguatkuasaan mencabar demi melindungi kesihatan awam.
Tugas mereka termasuk menahan penyalah guna Kpod, menjalankan operasi pemantauan bagi mengesan kemungkinan kegiatan mengimport, menjual atau mengedar Kpod, serta bekerjasama dengan pertubuhan polis antarabangsa seperti Interpol.
Pegawai penyiasat juga perlu mengendalikan sesi ceramah pendidikan pencegahan bagi golongan belia, pihak berkepentingan dan pertubuhan berkaitan, menurut iklan jawatan yang dimuat naik sekitar 12 Ogos.
Setakat 2 petang pada 13 Ogos, sebanyak 13 permohonan telah dihantar melalui LinkedIn.
Permohonan bagi jawatan tersebut akan ditutup pada 24 Ogos, manakala butiran gaji tidak dinyatakan dalam iklan berkenaan, lapor The Straits Times (ST).
Iklan jawatan ini dikeluarkan selepas Kementerian Kesihatan (MOH) meminta bantuan daripada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk menangani masalah berkaitan Kpod.
Pada 30 Julai, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, mengumumkan bahawa pegawai daripada MHA akan dihantar buat sementara waktu kepada HSA.
Selain memperkukuh usaha penguatkuasaan, mereka akan turut membantu dalam pengawasan, rawatan dan pemulihan penyalah guna Kpod.
Pihak berkuasa masih berusaha menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
MHA dijangka akan mengambil langkah tersebut dalam beberapa minggu akan datang, sementara MOH terus meneliti tindakan perundangan lanjut terhadap pengguna Kpod.
Jika etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C, penyalah guna dadah tersebut boleh dikenakan pengawasan serta diwajibkan mengikuti program pemulihan atau ditempatkan di pusat pemulihan dadah, sama seperti yang dijalani penagih dadah.
Orang ramai boleh melaporkan kesalahan berkaitan vape kepada Cawangan Peraturan Tembakau di 6684-2036 atau 6684-2037, yang dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau membuat laporan secara dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.
Di bawah undang-undang sedia ada, individu yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $2,000.
Individu yang mengedar, mengimport atau menjual vape serta komponennya boleh dipenjarakan sehingga enam bulan dan didenda sehingga $10,000.
Mereka yang didapati memiliki atau menggunakan pod yang mengandungi etomidate boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda hingga $10,000.
Mereka yang memerlukan sokongan untuk berhenti menggunakan vape boleh menyertai program I Quit oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), dengan menghubungi talian QuitLine di 1800-438-2000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg