Penyeludup ‘vape’ yang melintasi pusat pemeriksaan darat Singapura telah menyembunyikan ‘e-vaporizer’ dalam papan pemuka, rangka bawah, ruang roda, dan juga dalam kotak penapis udara kereta.
Kenderaan-kenderaan itu diubah suai untuk menyembunyikan sejumlah ‘vape’ lebih besar, yang telah diharamkan di Singapura sejak 2018, lapor The Straits Times (ST).
Taktik itu didedahkan oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 4 Ogos semasa tunjuk cara pemeriksaan dipertingkatkan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Menggunakan kereta demo, pegawai ICA memeriksa setiap celah sementara ketua kumpulan pemeriksaan, Inspektor Dayangku Suhaila Abdul Aziz, menjelaskan apakah yang sedang diperiksa.
Seorang pegawai dengan lampu suluh memeriksa di bawah stereng untuk melihat jika ada barang yang tersembunyi di belakang kolum stereng.
Seorang lagi pegawai mengetuk kotak penapis udara kereta untuk memeriksa sama ada ia kosong.
Penguatkuasaan dipertingkatkan susulan kenaikan 2.3 peratus dalam cubaan menyeludup, menurut Perangkaan Tahunan ICA 2024.
Pada 2023, terdapat 43,000 kes kontraban yang dikesan berbanding 44,000 kes pada 2024.
Kes itu termasuk rokok dan ‘vape’ yang diseludup.
Dalam satu hantaran Facebook pada 4 April, ICA berkata 308 kes melibatkan ‘vape’ dikesan di pusat pemeriksaan udara, darat, dan laut Singapura pada 2024.
Kenderaan yang memerlukan pemeriksaan teliti biasanya mempunyai pemandu atau penumpang yang gelisah, atau kelihatan terlalu berat walaupun hanya ada pemandu.
Inspektor Dayangku berkata: “Penyeludup yang membawa jumlah kecil biasanya lebih gelisah dan menyembunyikan ‘vape’ di dalam kereta, seperti di bawah tikar.
“Bagi sindiket, penyembunyiannya pula lebih canggih, dengan kereta diubah suai untuk menyembunyikan kontraban.”
Dalam kes terkini, sindiket berkenaan menyembunyikan ‘vape’ dalam ruang tayar gantian, kabin lori ‘prime mover’ dan menyamarkan kotak ‘vape’ bersama makanan dalam van penghantaran.
Dari Januari 2024 hingga Mac 2025, pihak Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah merampas ‘vape’ bernilai $41 juta – hampir lima kali ganda daripada nilai ‘vape’ yang dirampas dari 2019 hingga akhir 2023, berdasarkan angka yang dikumpul ST.
Lori dan bas mesti melalui Portal Imbasan Radiografik.
Jika dikesan sesuatu yang mencurigakan, pegawai ICA akan melakukan pemeriksaan lanjut.
Kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal boleh diimbas menggunakan mesin X-ray mudah alih.
Pada 29 Julai, 2,400 unit ‘vape’ dan komponen ditemui di sebuah lori yang memasuki Singapura di Pusat Pemeriksaan Tuas.
Lebih 5,900 unit ‘e-vaporizer’ ditemui dalam sebuah kereta Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 24 Julai.
ICA menggagalkan cubaan penyeludupan tersebut seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook pada 5 Ogos.
Selain gerak hati pegawai, maklumat atau kerjasama dengan agensi penguat kuasa undang-undang lain, serta maklumat dari Pusat Sasaran Bersepadu ICA juga membantu dalam menangani cubaan penyeludupan.
Inspektor Dayangku berkata: “Saya bangga dengan pasukan saya kerana berjaya menghentikan penyeludupan di pusat pemeriksaan.
“Sebagai pegawai ICA, tugas kami adalah menghalang kontraban seperti ‘e-vaporizer’ daripada masuk ke Singapura.”
Orang ramai boleh melaporkan kesalahan berkaitan ‘vape’ kepada Cawangan Pengawalan Tembakau dengan menghubungi talian 6684-2036 atau 6684-2037, dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau di pautan di laman wev=b, www.go.gov.sg/reportvape.
Mengikut undang-undang semasa, memiliki, menggunakan, atau membeli ‘vape’ membawa denda maksimum $2,000.
Individu yang mengedar, mengimport, atau menjual ‘vape’ dan komponen boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda hingga $10,000.
Mereka yang memiliki atau menggunakan pod yang mengandungi etomidate boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda hingga $10,000.
Jika anda memerlukan bantuan untuk berhenti merokok atau ‘vape’, sertai program I Quit oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) di 1800-438-2000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg