Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA kesan 17 ubat tradisional tidak selamat sejak 2020, termasuk produk jamu

Jun 17, 2025 | 6:51 PM
Menurut HSA, produk seperti jamu, serta ubat tradisional Melayu dan India, dikawal selia mengikut rangka peraturan yang disesuaikan berdasarkan tahap risikonya. Produk ini tidak memerlukan kelulusan pra-pasaran, namun pengedar wajib mematuhi syarat keselamatan – termasuk larangan bahan seperti steroid dan had ketat bagi logam berat.
Menurut HSA, produk seperti jamu, serta ubat tradisional Melayu dan India, dikawal selia mengikut rangka peraturan yang disesuaikan berdasarkan tahap risikonya. Produk ini tidak memerlukan kelulusan pra-pasaran, namun pengedar wajib mematuhi syarat keselamatan – termasuk larangan bahan seperti steroid dan had ketat bagi logam berat. - Foto fail

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah mengesan 17 ubat tradisional yang mengandungi bahan terlarang atau melebihi had logam berat toksik, sejak 2020 hingga 2024.

Dalam kenyataannya kepada Berita Harian, HSA turut memaklumkan bahawa 11 ubat tradisional yang dijual dalam senarai platform e-dagang telah dikeluarkan selepas didapati mengandungi bahan terlarang.

Dalam tempoh yang sama, tujuh produk tradisional turut dikaitkan dengan kesan buruk terhadap kesihatan, termasuk sindrom Cushing, reaksi kulit yang teruk dan keracunan plumbum atau lead poisoning.

Sindrom Cushing adalah kumpulan gejala yang muncul akibat terlalu tinggi kadar hormon kortisol di dalam tubuh dan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi serta penyakit tulang jika digunakan lama.

Menurut jurucakap HSA: “Ubat tradisional mengandungi ramuan yang penggunaannya telah direkodkan dalam rujukan perubatan tradisional yang berkaitan.

“Tidak seperti ubat Barat yang mengandungi bahan aktif atau kimia kuat dan tertakluk kepada kawalan lebih ketat, ubat tradisional tidak memerlukan kelulusan atau lesen daripada HSA untuk diimport, dikilang atau dijual.

“Namun begitu, pengedar tetap perlu mematuhi peraturan tertentu, termasuk larangan HSA terhadap penambahan bahan ubatan seperti steroid, serta had ketat terhadap logam berat toksik dalam produk mereka. Mereka juga perlu memastikan produk yang dibekalkan ke pasaran tempatan tidak berbahaya dan tidak memudaratkan pengguna.”

Menurut laporan Berita Minggu pada 30 Mei 2025, jamu, yang dulu lebih biasa diamalkan oleh orang tua, kini semakin digemari oleh anak muda. Ia juga tampil dengan cara yang lebih moden seperti dalam bentuk kapsul, serbuk bancuhan dan minuman wellness shots yang senang diminum.

Namun, para pakar perubatan telah menyuarakan kebimbangan tentang risiko produk tiruan atau tidak terkawal, terutama apabila dibeli secara dalam talian daripada sumber tidak sah.

Menurut HSA, produk seperti jamu, serta ubat tradisional Melayu dan India, dikawal selia mengikut rangka peraturan yang disesuaikan berdasarkan tahap risikonya.

Produk ini tidak memerlukan kelulusan pra-pasaran, namun pengedar wajib mematuhi syarat keselamatan – termasuk larangan bahan seperti steroid dan had ketat bagi logam berat.

Pengedar juga boleh memilih untuk memaklumkan secara sukarela kepada HSA mengenai ubat tradisional yang mereka edarkan bagi membuktikan produk mereka mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Senarai produk yang dimaklumkan secara sukarela ini boleh diakses di laman web HSA.

Bagi meningkatkan kesedaran umum, HSA kerap menerbitkan amaran produk kepada orang ramai dan menggesa pengguna agar berwaspada, khususnya ketika membeli produk kesihatan dalam talian.

Menurut jurucakap HSA, pengguna dinasihatkan agar berwaspada semasa membeli produk kesihatan, terutama secara dalam talian.

“HSA menyarankan pengguna mengikuti panduan ‘ALERT’ – elakkan produk daripada sumber tidak dikenal pasti, beli hanya daripada penjual yang dipercayai, waspada terhadap tuntutan yang melampau, dan laporkan produk mencurigakan kepada HSA. Jika mengalami kesan sampingan, dapatkan rawatan doktor segera,” katanya.

Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai penjualan produk kesihatan yang terlarang, sila hubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866-3485 atau e-mel hsa_is@hsa.gov.sg.

Untuk maklumat lanjut atau menyemak senarai produk yang telah dimaklumkan kepada HSA, sila layari laman web www.hsa.gov.sg.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg