Bagi saintis berusia 28 tahun, Cik Nur Tiara Kenchana Suryakenchana, jamu kekal sebagai ikhtiar kesihatan yang masih beliau amalkan hingga kini.
Setiap kali terasa terlalu letih atau perlukan perangsang tenaga, beliau akan minum jamu kunyit asam dan beras kencur — menggambarkan rasanya sebagai boleh ditelan, dengan sedikit rasa manis.
Adiknya, Cik Kamelia Tufah Kenchana Suryakenchana, 25 tahun, pula bukan sahaja mengamalkan minum jamu, malah melihat jamu sebagai medium seni dan penyembuhan.
Dalam persembahan seninya Jom Jamah Jamu semasa Minggu Kesenian Singapura pada Januari 2025, Kamelia Tufah menjiwai watak penjual jamu atau jamu gendong dan menyediakan ramuan jamu secara langsung di hadapan penonton.
Minat kedua-dua beradik ini mencerminkan trend lebih meluas.
Jamu bukan lagi warisan nenek moyang, malah kini berwajah moden dengan pelbagai bentuk dan rasa untuk memenuhi keperluan pengguna masa kini, terutama generasi muda yang mahukan alternatif semula jadi dan mudah dimakan atau diminum.
Di pasaran hari ini, produk jamu boleh didapati daripada minuman tradisional seperti kunyit asam dan beras kencur, hinggalah dalam bentuk kapsul, serbuk bancuhan, dan minuman ‘wellness shots’ yang dibotolkan.
Ramuannya mungkin berbeza mengikut resepi dan keperluan tertentu – ada yang menumpukan kepada kecergasan, keseimbangan hormon, atau penjagaan kesihatan.
Minuman ‘wellness shots’ biasanya dibotolkan atau dipaketkan dalam kuantiti kecil (30 hingga 60 mililiter) dan dirumus dengan bahan pekat seperti kunyit, halia, serai dan madu — sesuai untuk pengambilan pantas tetapi berkhasiat.
Ia menjadi pilihan popular dalam kalangan anak muda yang inginkan penyelesaian kesihatan semula jadi secara mudah misalnya jenama tempatan jamu Tradishot oleh pemilik bersama bagi perniagaan Chulop! By The Syarifs dan Boms & Buns, Malaque Mahdaly.
Syarikat Al Barakah Health & Beauty Mart, pula menjual lebih daripada 200 produk berkaitan jamu, turut melihat perubahan dalam golongan usia pembeli.
“Terdapat peningkatan sekitar 20 hingga 30 peratus dalam kalangan pelanggan muda, yang banyak dipengaruhi oleh trend kesihatan di TikTok, minat terhadap kesihatan berasaskan fungsi, dan gerakan “kembali ke akar”, kata Pengarah Perolehan Al Barakah, Encik Muhammad Nasruddin Abdul Rahman.
Namun, pakar kesihatan menasihatkan agar pengguna berhati-hati dengan produk jamu moden, terutama dalam bentuk minuman segera atau ‘wellness shots’.
Konsultan Kanan dalam Geriatrik dan Perubatan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) yang juga anggota Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), Dr Norhisham Main, menjelaskan bahawa walaupun ramuan herba seperti halia, kunyit, atau asam jawa mempunyai manfaat tersendiri, kesannya berbeza mengikut individu.
“Pengambilan jamu perlu disesuaikan dengan keadaan kesihatan masing-masing, dan sebaiknya dirujuk dengan pakar terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut mengingatkan: “Ramai yang beranggapan oleh sebab herba adalah semula jadi, risikonya rendah ataupun tiada risiko. Meskipun ia semula jadi namun pengambilan dengan dos atau cara yang salah boleh menyebabkan kesan sampingan.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg