Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA padam lebih 3,000 senarai produk kesihatan haram dalam talian

Nov 27, 2024 | 4:24 PM
Sekitar 3,336 produk kesihatan haram yang disenaraikan berjaya dikenal pasti dan dipadamkan.
Sekitar 3,336 produk kesihatan haram yang disenaraikan berjaya dikenal pasti dan dipadamkan. - Foto HSA

Dalam usaha membanteras penjualan serta pembekalan produk kesihatan haram, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah memadamkan lebih 3,000 produk kesihatan haram yang disenaraikan untuk penjualan melalui wadah e-dagang tempatan dan media sosial.

Dalam satu kenyataan pada 27 November, HSA menyifatkan usaha tersebut sebagai “kerjasama besar-besaran pertama seumpama itu dengan pentadbir wadah dalam talian.”

Hasil kerjasama itu, sejumlah 3,336 produk kesihatan haram yang disenaraikan berjaya dikenal pasti dan dipadamkan.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan 1,471 amaran kepada para penjual dalam operasi yang berlangsung dari 23 September hingga 23 Oktober, lapor The Straits Times (ST).

Lapan platform yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Amazon Singapura, Carousell, eBay Singapura, Facebook, Lazada, Qoo10, Shopee dan TikTok.

“Operasi bersama yang dijalankan untuk membanteras penjualan dan pembekalan produk kesihatan haram dalam talian, menunjukkan komitmen HSA untuk melindungi pengguna daripada produk yang tidak memenuhi piawaian atau merupakan produk tiruan. 

“Produk-produk ini mungkin tidak selamat dan membawa risiko bahaya yang ketara,” kata HSA sambil menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang produk kesihatan haram, tiruan atau yang mencurigakan kepada HSA.

Produk kecantikan membentuk majoriti – sekitar 48 peratus – daripada senarai yang dipadamkan, dengan 1,611 penyenaraian.

Ia termasuk produk penjagaan kulit yang dipasarkan untuk menegangkan wajah, memutihkan kulit, merawat masalah kulit seperti jerawat dan ekzema.

Produk seperti set suntikan kecantikan kendali kendiri (DIY), pengisi dermal, toksin botulinum, dan suntikan plasenta turut dipadamkan kerana ia memerlukan kelulusan HSA dan hanya boleh diberikan pengamal perubatan bertauliah.

Langkah ini diambil untuk mencegah komplikasi serius seperti jangkitan teruk, buta, dan juga angin ahmar.

Jenis produk lain yang turut dipadamkan termasuk alat pencegah kehamilan (11 peratus), antibiotik, antikulat, atau antivirus (10 peratus), kanta lekap (7 peratus), produk meningkatkan keupayaan seksual lelaki (5 peratus), produk merawat rambut gugur (3 peratus), dan analgesik untuk melegakan kesakitan (3 peratus).

Menurut HSA, sekitar 40 peratus daripada penyenaraian yang dipadamkan terdiri daripada ubat preskripsi dan ubat yang hanya boleh didapati di farmasi.

Ubat-ubatan sebegitu hanya boleh diperoleh daripada doktor secara langsung, atau ahli farmasi dengan preskripsi doktor.

HSA memberi amaran pada November 2023 bahawa ubat preskripsi yang kuat tidak boleh dikongsi atau diberikan kepada orang lain, walaupun gejala yang dihadapi kelihatan serupa.

Menjual produk kecantikan yang tidak berdaftar, pengisi dermal, ubat preskripsi, alat perubatan, dan produk kesihatan tercemar di wadah e-dagang dan media sosial tempatan adalah menyalahi undang-undang.

Individu yang didapati bersalah membekalkan produk sedemikian boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga $100,000, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg