Seorang remaja yang dirakam berjalan terhuyung-hayang di dalam MRT pada 31 Julai telah dilihat menggunakan vape oleh kakitangan stesen kereta api.
Klip selama 15 saat yang disiarkan di Reddit pada 31 Julai menunjukkan remaja itu, yang kelihatan terpinga-pinga, berjalan secara tidak stabil sebelum jatuh ke belakang.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, SMRT berkata ia sedar mengenai video tersebut yang dipercayai menunjukkan penggunaan Kpod, atau vape mengandungi etomidate, oleh remaja tersebut.
“Kakitangan stesen kami dapat mengesan komuter lelaki yang diperhatikan sedang vape, mengiringinya keluar dari kereta api kami dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
“Kami juga telah mengeluarkan notis kesalahan kepada individu ini kerana melanggar peraturan,” kata presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai.
Notis itu secara amnya meminta penerima membayar saman dalam tempoh yang dinyatakan.
SMRT tidak menyatakan butiran mengenai stesen MRT dan laluan yang dikaitkan dengan kejadian itu.
Pada 1 Ogos, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata remaja berusia 17 tahun itu didapati memiliki vape, dan sedang membantu siasatan.
Etomidate diklasifikasikan sebagai racun dan dikawal di bawah Akta Racun. Ia mempunyai penggunaan klinikal sebagai agen anestetik, dan hanya dibenarkan dalam situasi klinikal dan tertakluk kepada syarat penggunaan yang ketat.
Pakar berkata etomidate boleh menyebabkan sejenis kekejangan otot yang dipanggil myoclonus, yang mungkin disifatkan oleh pesakit sebagai rasa bergegar.
Apabila diambil pada dos berlebihan, pengguna boleh mengalami keadaan tidak stabil, rasa tidak bermaya dan kebingungan.
Kata Encik Lam: “Kami memandang serius kelakuan menyalahi undang-undang itu dan sangat menggalakkan penumpang yang memerhatikan situasi yang sama untuk melaporkannya.”
Pada 30 Julai, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, mengumumkan pegawai dari Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan dihantar ke Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk mempertingkatkan usaha penguatkuasaan HSA terhadap kesalahan berkaitan etomidate.
MHA dijangka menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah dalam minggu-minggu akan datang sebagai langkah sementara, sedang Kementerian Kesihatan mengkaji tindakan perundangan lanjut terhadap pesalah Kpod.
Jika etomidate disenaraikan sebagai dadah Kelas C, pengguna boleh tertakluk kepada pengawasan dan penyertaan mandatori dalam program pemulihan atau dimasukkan ke pusat pemulihan dadah, seperti apa yang dilalui oleh penyalahguna dadah.
Mereka yang mengulangi kesalahan atau melakukan kesalahan serius lain juga boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya setahun.
Untuk melaporkan kesalahan berkaitan vape, orang ramai boleh menghubungi talian hotline HSA di 6684 2036 atau 6684 2037 dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, termasuk pada hari cuti umum.
Orang ramai juga boleh berbuat demikian dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg