Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HSA: Usah ambil suplemen herba, produk probiotik palsu

Dec 23, 2024 | 6:49 PM
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah merampas bekalan suplemen ‘ayurveda’, selepas seorang wanita yang memakannya dimasukkan ke hospital kerana keracunan logam plumbum.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah merampas bekalan suplemen ‘ayurveda’, selepas seorang wanita yang memakannya dimasukkan ke hospital kerana keracunan logam plumbum. - Foto HSA

Stok suplemen ayurveda telah dirampas oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) selepas seorang wanita yang memakannya dimasukkan ke hospital akibat keracunan logam plumbum.

HSA juga telah mengarahkan sebuah wadah e-dagang supaya menurunkan penyenaraian produk probiotik palsu selepas tiga orang anggota keluarga jatuh sakit selepas mengambil kapsul itu, tambahnya dalam satu kenyataan pada 23 Disember.

Suplemen ayurveda yang dikenali sebagai ayukalp Mahayograj Guggulu, telah menyebabkan seorang wanita berusia 30-an tahun mengalami keletihan dan sesak nafas semasa melakukan kegiatan fizikal dan ketidakselesaan pada bahagian dada.

Beliau kemudian disahkan menghidap anemia akibat keracunan plumbum dan dimasukkan ke hospital.

Menurut HSA, wanita itu mendapat suplemen dari Union Yoga Ayurveda selepas menjalani konsultasi dan mengambilnya selama kira-kira satu setengah bulan untuk sakit belakang.

Ujian HSA mendapati produk itu mengandungi plumbum, dengan tahap melebihi 6,000 kali had yang boleh diterima untuk ubat tradisional.

Menurut pihak berkuasa, pendedahan akut kepada paras plumbum yang tinggi – yang merupakan logam berat toksik – boleh mengakibatkan sakit perut, loya, muntah, anemia, hepatitis dan kecederaan otak.

Pendedahan jangka panjang kepada paras plumbum yang sangat tinggi boleh menjejas ginjal, sistem pencernaan dan sistem saraf seseorang.

HSA menyatakan ia telah merampas bekalan suplemen itu daripada ketiga-tiga cawangan tempatan Union Yoga Ayurveda, yang sedang membantu siasatan.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki dan isterinya mengalami ketidakselesaan perut, muntah dan cirit-birit, manakala anak mereka yang berusia dua tahun mengalami demam panas dan warna najis tidak normal selepas mengambil kapsul LactoGG palsu yang dijual di Shopee.

Anak-anaknya yang lain turut mengadu bahawa rasa kapsul itu berbeza daripada yang biasa mereka rasa.

Lelaki berusia 40-an itu kemudian mengesyaki produk yang dibelinya adalah palsu selepas mendapati terdapat penyelewengan pada cetakan pembungkusan produk dan perubahan warna kandungan dalam kapsul.

Analisis HSA mendedahkan produk itu tidak mengandungi probiotik, Lactobacillus rhamnosus GG, seperti yang dinyatakan pada pembungkusannya.

Pihak berkuasa telah mengarahkan Shopee supaya menurunkan penyenaraian yang terjejas dan akan mengambil tindakan terhadap pesalah.

Semua penjual dan pembekal mesti berhenti menjual kedua-dua produk itu serta-merta, kata HSA, manakala pengguna harus berhenti mengambilnya.

Mereka yang mengesyaki kapsul LactoGG mereka adalah palsu boleh menghubungi ProbioCare di info@lactogg.com atau 6255-5592 antara Isnin dengan Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

Untuk membuat laporang tentang mereka yang menjual dan membekalkan produk haram, orang ramai boleh menghubungi cawangan penguatkuasaan HSA di talian 6866-3485.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg