Bayangkan robot humanoid berkuasa Kecerdasan Buatan (AI) menggantikan pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bagi menangani tumpahan bahan kimia.

Atau bagaimana ia menjalankan pemeriksaan rutin sel untuk mencari bahan seludup supaya pegawai penjara boleh menumpukan perhatian kepada pendampingan dan pemulihan banduan.

Ini antara aplikasi yang bakal diterokai bagi humanoid canggih yang akan dibangunkan di Pusat Robotik Humanoid Home Team (H2RC) yang baharu.

Ia merupakan pusat pertama yang khas bagi membangunkan humanoid untuk keselamatan awam yang dilancarkan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) pada 30 September.

Humanoid tersebut dijangka mula beroperasi di samping pegawai Home Team seawal 2028, tambah HTX.

Ia juga termasuk mengerahkan humanoid berkuasa AI untuk membantu Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam tugas bahaya seperti menyiasat lokasi pascaletupan, serta menambah semula bekalan perubatan di dalam ambulans.

Bercakap di majlis pelancaran pusat itu, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi terkini untuk membantu pegawai Home Team menjalankan tugas rutin, berdaya fizikal, dan berisiko tinggi.

“Mereka bertindak dalam setiap panggilan bantuan, malah sering kali mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan orang lain.

“Namun, persekitaran operasi kini semakin rumit. Ancaman berkembang dengan lebih pantas dan dalam kaedah baharu,” katanya.

Lantaran itu, langkah memperkasa teknologi dalam operasi Home Team adalah “wajib dan amat diperlukan”, tegas Encik Tong.

Namun, beliau menekankan bahawa robot tidak mengganti pegawai sepenuhnya.

“Pegawai kita pula menumpukan perhatian kepada tugas yang memerlukan simpati, pertimbangan, dan kepimpinan.

“Kami memperkasa keupayaan pegawai kita, bukannya menggantikan mereka. Ini supaya mereka dapat melaksanakan lebih banyak tugas, dan melakukannya dengan lebih selamat,” ujar Encik Tong.

Beliau menambah bahawa penggunaan teknologi seperti itu penting dalam mengemudi keadaan tenaga kerja yang terhad di Singapura di tengah-tengah permintaan perkhidmatan Home Team semakin meningkat, serta insiden berisiko yang seringkali berlaku berhampiran dengan rakyat umum.

Selama bertahun-tahun, Home Team telah memanfaatkan sains dan teknologi untuk memperkukuh kesedaran situasi, memperkemas proses membuat keputusan serta menyokong pegawai dalam operasi, kata Encik Tong.

Beliau menampilkan bagaimana robot telah digunakan di merata dunia, seperti dalam membersih bahan radioaktif dalam kemalangan loji jana kuasa nuklear Fukushima di Jepun pada 2011, serta di kebakaran Notre-Dame di Perancis pada 2019.

Justeru, pelancaran H2RC merupakan langkah besar seterusnya dalam perjuangan itu.

Menurut HTX, humanoid dipilih atas keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang direka bagi kegunaan manusia.

HTX akur terdapat sektor komersial yang menumpukan perhatian kepada latihan robot humanoid bagi perkilangan, isi rumah, serta aplikasi pengguna.

Namun, H2RC akan fokus kepada menerajui robot humanoid khas bagi keperluan keselamatan awam, sekali gus memperkasa operasi Home Team.

Kini, terdapat pelbagai robot Home Team yang sudah beroperasi, tetapi hanya mampu melaksanakan tugas yang sudah ditentukan.

Menerusi keupayaan dan kepakaran H2RC, humanoid akan dilengkapi dengan keupayaan AI supaya ia mampu belajar, memahami situasi dan bertindak dalam persekitaran dunia sebenar secara dinamik dan selamat.

Misalnya, humanoid tersebut akan dilengkapi untuk melaksanakan tugas lebih kompleks serta bangkit daripada kegagalan.

Pusat H2RC, terletak di bangunan ALICE @ Mediapolis, mempunyai ruang sebesar 29,000 kaki persegi, atau sekitar enam gelanggang bola keranjang, untuk menyokong proses pembangunan itu.

“Tapak ini menyediakan ruang untuk mewujudkan persekitaran realistik dan simulasi terperinci bagi senario keselamatan awam yang diperlukan untuk mengumpul dan mempelbagaikan data, kata HTX dalam satu kenyataan.

Pusat H2RC dikendali oleh jurutera di Pusat Kepakaran Robotik, Automasi dan Sistem Tanpa Pemandu HTX, yang telah meluaskan kepakaran teras dalam perkakasan, elektronik, dan perisian robotik.

Ini termasuk simulasi loji bahan kimia, sel penjara dan runtuhan selepas letupan untuk menguji keupayaan humanoid.

Kini, terdapat sekitar 20 humanoid yang akan digunakan dalam proses ujian dan pembangunan di H2RC. Ini termasuk humanoid yang dikendali oleh manusia serta yang berautonomi.

“Pembangunan humanoid berkuasa AI di H2RC akan dijalankan secara bertahap, bermula dengan pembangunan keupayaan sebelum beralih kepada ujian perintis dan pengesahan.

“Sebelum diguna pakai secara rasmi dalam operasi, sistem tersebut akan diuji secara ketat bagi memastikan keselamatan siber serta kebolehpercayaannya,” tegas HTX.

Selain itu. sebahagian besar pembangunan Humanoid berkeupayaan AI ialah pengumpulan data secara menyeluruh.

H2RC akan mengumpul data mengenai keselamatan awam menerusi model Penglihatan-Bahasa-Tindakan (VLA) yang akan digunakan dalam penciptaan humanoid berkuasa AI.

Ia juga memanfaatkan infrastruktur AI Home Team, NGINE, yang mana HTX telah bekerjasama dengan Singtel RE:AI untuk dinaik taraf.