Topik diikuti
Pergi ke BHkuHubungan rapat dalam keluarga ‘benteng’ terawal lindungi anak daripada fahaman ekstrem
Hubungan rapat dalam keluarga ‘benteng’ terawal lindungi anak daripada fahaman ekstrem
Baru-baru ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengumumkan ia telah menahan tiga remaja berusia 14, 15 dan 19 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka telah menjadi radikal sendiri dan mahu melaksanakan serangan di Singapura. Usia mereka yang terlalu muda mencetus keprihatinan kerana ia mencadangkan menjadi radikal tidak mengenal usia. Pada masa yang sama, ibu bapa dan keluarga boleh memainkan peranan di rumah untuk memberi bantuan lebih awal kepada ahli keluarga yang dekat dengan kandungan ideologi ekstrem. Bagaimana ibu bapa boleh mengimbangi rasa sayang kepada anak-anak dengan tanggungjawab sukar untuk memastikan mereka mendewasa tanpa berpegang kepada ideologi ekstrem. BHerbual bercakap dengan seorang ustaz dan pakar keluarga yang juga anggota perintis Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) untuk mendapatkan pandangannya.
Hubungan rapat dalam keluarga ‘benteng’ terawal lindungi anak daripada fahaman ekstrem
Usaha memantau gerak-geri anak-anak di alam maya mahupun fizikal tidak akan memadai sekiranya ibu bapa tidak melaburkan masa dan tenaga untuk membina hubungan yang erat dengan mereka.
Langkah menjalin keakraban keluarga ini merupakan kunci untuk memahami keperluan emosi remaja, sekali gus menjadi benteng terawal dalam mengesan sebarang tanda awal masalah peribadi anak seperti pembulian, kemurungan, dan radikalisasi diri.
Demikian ditekankan oleh Ustaz Dr Mohd Yusri Yusoff, Pengasas dan Pengarah YusriYusoff Consulting, sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada pembangunan keluarga dan konsultasi kandungan Islam dalam Podcast BHerbual Berita Harian pada 30 Julai.
Beliau juga merupakan antara anggota perintis Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sejak ia ditubuhkan pada 2003, dan telah membimbing tahanan Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk yang berkaitan dengan Jemaah Islamiyah (JI) dan Isis.
Dalam sesi rakaman podcast tersebut, Ustaz Yusri mengulas isu ancaman radikalisasi belia yang semakin membimbangkan susulan beberapa kes terkini melibatkan remaja tempatan yang dikenakan tindakan di bawah ISA.
Podcast tersebut turut membincangkan bagaimana ibu bapa dan keluarga boleh menjadi benteng utama dalam melindungi kanak-kanak daripada gejala menjadi radikal sendiri.
Ini juga memandangkan kadar usia kanak-kanak yang menjadi radikal sendiri semakin muda dan tempoh untuk menjadi radikal sendiri dengan keinginan untuk melakukan keganasan juga telah menjadi lebih singkat.
Pada 27 Julai, tiga remaja Singapura berusia antara 14 dan 19 tahun, telah ditahan di bawah ISA kerana telah menjadi radikal sendiri oleh ideologi ekstremis ganas dan merancang untuk melakukan serangan berasingan di sini.
Beberapa penganalisis dan penjawat politik seperti Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri) Encik Zhulkarnain Abdul Rahim telah menekankan bahawa ahli keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan penting untuk memantau dan mengesan tanda-tanda awal radikalisasi diri dalam kalangan anak-anak dan rakan sekolah.
Dalam podcast itu, Ustaz Yusri berkata sebelum ibu bapa mahu melakukan sebarang pemantauan terhadap aktiviti anak-anak, mereka perlu mewujudkan hubungan dalam keluarga yang mesra dan saling mengenali.
“Sebelum kita nak pergi lebih lanjut macam mana nak kenal tanda-tanda radikal, langkah pertama yang penting ialah kita sendiri sebagai ibu bapa perlu rapat dengan anak-anak kita,” kata Ustaz Yusri.
Beliau menambah bahawa semakin anak-anak membesar dan melangkah ke alam remaja, semakin sukar untuk mendampingi mereka sekiranya jalinan kemesraan tidak dipupuk sejak dari awal lagi.
Oleh yang demikian, ibu bapa perlu sentiasa mengambil tahu aktiviti harian anak-anak, mengenal pasti rakan-rakan sekolah mereka, serta memantau saluran kandungan yang ditonton di platform digital seperti YouTube, Roblox mahupun Discord.
Bukan soal sibuk, tapi apa ibu bapa lakukan semasa di rumah
Mengulas tentang cabaran ibu bapa zaman moden yang kebanyakannya sibuk bekerja dan berdepan kesempitan masa, Ustaz Yusri berkata isu utamanya bukanlah kesibukan harian semata-mata.
Sebaliknya, ia bergantung kepada apa yang dilakukan oleh ibu bapa sewaktu mereka berada di rumah bersama anak-anak.
“Semua orang sibuk, tetapi soalan dasarnya ialah apabila kita tidak sibuk atau apabila kita berada di rumah, apa yang kita buat bersama anak-anak?” soal Ustaz Yusri.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun sesetengah ibu bapa hanya mempunyai masa sekitar dua jam selepas pulang dari tempat kerja sebelum masuk tidur, tempoh yang singkat itu mesti dimanfaatkan sepenuhnya dengan berkualiti.
Ustaz Yusri juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyamakan komunikasi fizikal dengan sekadar menghantar mesej pesanan ringkas melalui telefon bimbit semasa waktu bekerja semata-mata.
Menurutnya, mesej teks hanyalah sekadar “sambungan kepada interaksi fizikal” dan sekali-kali tidak boleh menggantikan kehangatan perbualan secara bersemuka di rumah.
Aktiviti santai seperti menonton siaran sukan bersama atau berkongsi minat dalam hobi kegemaran anak mampu merapatkan jurang komunikasi antara dua generasi.
Beliau berkata segala usaha ini memerlukan pelaburan masa yang berterusan daripada ibu bapa demi memastikan anak-anak sentiasa berasa selamat, dihargai, dan mempunyai tempat luahan emosi.
“Jadi kita perlu ambil beratlah daripada sekarang. Yang ada anak-anak kecil, teruskan hubungan itu sampai anak-anak kita remaja ataupun dewasa.
“Semakin mereka membesar, semakin itu kita perlu kerja lebih keras untuk bersama dengan mereka dalam masa-masa yang singkat tu.
“Kalau yang belum, yang mungkin tak rapat, ini masanya untuk kita bermuhasabah apa yang kita boleh buat sekarang selepas ini,” kata Ustaz Yusri.
Tiada istilah terlambat bina semula hubungan
Bagi ibu bapa yang berasa hubungan mereka dengan anak-anak yang sudah meningkat remaja semakin merenggang dan janggal, Ustaz Yusri menegaskan bahawa tiada istilah terlambat untuk bermula.
Beliau memberikan contoh sekiranya anak sudah berusia 17 tahun dan ibu bapa baru mahu mula mendekati mereka, usaha berterusan itu tetap amat berbaloi apabila anak melangkah ke usia 19 atau 21 tahun kelak.
Meskipun permulaan itu mungkin terasa agak janggal, beliau berkata tindakan awal yang mungkin bermula dibina semula hari ini amat penting untuk meningkatkan keakraban tersebut secara bertahap dari semasa ke semasa.
“Dalam ungkapan bahasa Inggeris, ada menyebut ‘better late than never’, jadi lambat macam mana pun saya rasa belum terlambat lagi untuk kita mulakan,” ujar beliau.
Pupuk kasih sayang, bina keakraban sebahagian tuntutan agama
Dalam pada itu, Ustaz Yusri turut mengingatkan bahawa tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak tidak terhenti sekadar menghantar mereka ke kelas-kelas pengajian agama formal semata-mata.
Memastikan anak-anak belajar solat dan menguasai ilmu fardu ain memang satu kewajipan, namun memberikan kasih sayang serta membina hubungan yang mesra juga merupakan sebahagian daripada tuntutan agama dan sunnah Rasulullah saw.
“Menjalin hubungan yang baik dan mesra itu sebenarnya adalah sebahagian daripada ajaran agama juga yang tidak boleh kita ketepikan sama sekali.
“Maknanya, di samping kita pastikan anak kita mendapat pendidikan agama, kita pun perlu memberikan kasih sayang dan menjalin hubungan mesra dengan anak-anak,” jelas Ustaz Yusri.
Beliau menambah proses membimbing anak-anak sering kali menjadi satu perjalanan yang panjang dan memerlukan ketabahan serta kesabaran yang tinggi daripada ibu bapa.
Justeru, ibu bapa tidak boleh cepat berputus asa atau mengharapkan perubahan tingkah laku anak berlaku secara drastik dalam sekelip mata.
Buat laporan awal demi selamatkan anak
Menyentuh mengenai kes di mana terdapat ahli keluarga yang mengetahui anak mereka terpengaruh dengan kefahaman ekstrem tetapi tidak membuat laporan, Ustaz Yusri berpendapat dilema emosi dan sikap memandang remeh menjadi punca utama.
Beliau berkata dalam hal tersebut, ibu bapa kemungkinan besar tidak menyangka atau ‘downplay’ tahap bahaya pemikiran anak mereka sehingga tidak dapat membayangkan bahawa anak sendiri tergamak melakukan serangan fizikal atau membawa senjata ke sekolah.
Lantaran itu, Ustaz Yusri menggesa para ibu bapa agar tidak mengabaikan sebarang petanda luar biasa dan segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa, masjid berdekatan, atau merujuk terus kepada pejabat RRG di Masjid Khadijah.
Beliau berkata laporan dan makluman awal ini amat penting kerana ia membolehkan langkah intervensi dan bimbingan dilakukan sebelum situasi menjadi lebih parah atau terlambat.
“Kalau kita lihat ada tanda-tanda yang anak kita terbabit dalam kejadian seperti ini, saya rasa mereka boleh buat laporan dengan segera,” kata Ustaz Yusri.