Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: Perkembangan terkini dalam radikalisasi belia trend membimbangkan
Shanmugam: Perkembangan terkini dalam radikalisasi belia trend membimbangkan
23 individu bawah 20 tahun telah dikenakan tindakan di bawah ISA sejak 2015
Shanmugam: Perkembangan terkini dalam radikalisasi belia trend membimbangkan
Radikalisasi dalam kalangan belia kini menjadi antara ciri ancaman keganasan di Singapura, dengan proses seseorang menjadi radikal dan merancang serangan berlaku dalam tempoh yang semakin singkat, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam.
Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata semasa Majlis Memperingati Hari Kebangsaan Home Team pada 29 Julai bahawa individu yang menjadi radikal sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kini semakin muda.
Pada 27 Julai, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah menahan tiga remaja lelaki di bawah ISA dengan ketiga-tiganya merancang serangan di Singapura.
Ini termasuk seorang remaja berusia 14 tahun yang merancang serangan tikaman di sekolahnya, dengan menyediakan senarai sasaran yang mengenal pasti guru serta pelajar bukan Islam.
Menurut Encik Shanmugam, ketiga-tiga remaja itu dipengaruhi kandungan ekstremis dalam talian sebelum memilih ideologi yang mengukuhkan kemarahan mereka dan mendorong mereka melakukan keganasan.
“Dunia telah berubah. Teknologi telah berubah. Dalam tempoh tiga bulan yang lalu sahaja, ISD telah memberkas dan menahan tiga remaja lelaki di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
“Kesemuanya membaca kandungan ekstremis dalam talian. Terdapat pelbagai pilihan untuk melakukan keganasan. Sebahagian daripadanya saling bercanggah. Tetapi anak-anak muda ini sedang marah, dan mereka mencari serta memilih perkara berbeza yang mengapikan kemarahan itu dan membolehkan mereka menyerang seseorang.
“Ia bukanlah sesuatu yang unik untuk generasi ini. Setiap generasi pasti ada golongan sedemikian, cuma perihal ini telah dipercepatkan secara luar biasa di ruang maya,” katanya.
Beliau menambah, sejak 2015, seramai 23 individu berusia 20 tahun ke bawah telah dikenakan tindakan di bawah ISA kerana kegiatan berkaitan keganasan.
Menyifatkan trend ini sebagai sesuatu yang membimbangkan, Encik Shanmugam turut faham tentang kerisauan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka di sekolah.
Namun ibu bapa tidak seharusnya mengelakkan sekolah yang mempunyai ramai murid Islam semata-mata kerana bimbang akan keselamatan anak-anak mereka.
Malah, kata Encik Shanmugam, pendekatan sedemikian bukanlah penyelesaian, sebaliknya hanya akan menjejaskan keharmonian kaum dan agama yang dibina Singapura sejak sekian lama.
“Keadaan ini membimbangkan, dan sudah tentu dalam konteks persekitaran sekolah, ibu bapa akan berasa bimbang sama ada anak-anak mereka selamat, dan sama ada mereka patut mengelak sekolah yang mempunyai pelajar beragama Islam.
“Ia bukanlah suatu perkara yang menyenangkan untuk dibincangkan, tetapi saya rasa kita perlu membicarakan hal ini secara terbuka kerana ibu bapa akan memberikan reaksi sedemikian,” kata beliau.
Menurutnya, sejak serangan 11 September pada 2001, penduduk Muslim di sesetengah negara dipandang dengan penuh curiga dan rasa takut.
Di Singapura, tambah Encik Shanmugam, golongan pelampau hanya segelintir sahaja dan tidak wajar menyalahkan seluruh masyarakat Melayu/Islam, yang majoritinya mematuhi undang-undang.
“Jadi, kita tidak boleh dan tidak seharusnya membiarkan segelintir individu berfahaman radikal meracuni suasana, serta menjejas ikatan yang amat kukuh antara masyarakat dan kepercayaan yang dibina merentasi garis kaum dan agama di Singapura,” kata Encik Shanmugam.