Warga Singapura boleh menjangkakan hujan sempena permulaan tahun baru kali ini, dengan ramalan hujan bagi dua minggu akan datang, kata Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada 2 Januari.
Hujan gerimis hingga lebat dijangka pada kebanyakan petang, dan mungkin berlanjutan hingga malam, kata MSS dalam kenyataannya yang dikeluarkan sekali setiap dua minggu.
Keadaan ini kemungkinan ekoran daripada keadaan monsun timur laut yang lazim berlaku, di mana angin menghampiri dari timur laut dan bertiup ke arah barat daya.
Fasa ini akan berlangsung dari Disember hingga Januari, dan dijangka akan membawa lebih banyak hujan di Singapura.
Keadaan lebih lembab juga dijangka dalam beberapa hari terakhir dua minggu pertama Januari kerana monsun meningkat secara mendadak dalam kelajuan angin menyebabkan udara sejuk bergerak ke selatan di Laut China Selatan.
Menurut MSS, Singapura dan kawasan rantau sekitarnya adalah kawasan yang akan terjejas akibat fenomena iklim La Nina.
Ini bermakna keadaan La Nina – merujuk kepada fasa gerakan El Nino-Selatan yang membawa lebih banyak hujan ke sini – mungkin terjadi dalam beberapa bulan akan datang.
Dalam satu catatan Facebook pada 2 Januari, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menggesa warga Singapura supaya bersedia menghadapi musim hujan yang dijangkakan itu.
“Hujan lebat dan banjir kilat yang menjejas Singapura pada 2024 mengingatkan kita bahawa iklim kian menjadi tidak menentu, dengan kejadian cuaca ekstrem kemungkinan akan menjadi lebih kerap,” katanya.
Suhu harian dalam dua minggu pertama Januari berkemungkinan berjulat antara 24 darjah Celsius dengan 33 darjah Celsius, dengan suhu mungkin turun ke paras terendah 22 darjah Celsius pada pertengahan bulan.
Hari panas dan hujan sering terjadi pada dua minggu terakhir 2024, apabila hujan lebat turun pada kebanyakan petang, kata MSS.
Suhu berjulat antara 32-34 darjah Celsius, manakala kira-kira separuh kawasan Singapura mencatatkan hujan melebihi purata pada dua minggu terakhir 2024.
Rekod 134.6 milimeter hujan dicatat di kawasan tengah Singapura dalam masa lebih dua jam pada petang 29 Disember.
Ia adalah sekitar 41 peratus daripada purata hujan bulanan negara pada Disember dan berada dalam 1 peratus teratas rekod maksimum hujan turun secara harian sejak 1978.
Hujan lebat menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan, termasuk Dunearn Road, Bukit Timah Road dan Balmoral Road, kata Cik Fu dalam catatan Facebooknya.
Banjir kilat ini surut dalam masa 20 minit, dengan kebanyakan jalan raya yang terjejas dibersihkan dalam masa sejam.
Cik Fu menambah bahawa agensi air Singapura (PUB) bertindak cepat untuk mengatasi banjir kilat, dengan menutup kawasan yang terjejas dan mengarahkan lalu lintas.
“Walaupun kita tidak dapat meramalkan masa atau intensiti kejadian cuaca ekstrem secara pasti, hujan lebat kadangkala boleh menjejas sistem longkang kita, mengakibatkan banjir kilat setempat,” katanya, menggesa orang ramai untuk kemas kini dengan ramalan cuaca dan amaran banjir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg