Banjir kilat berlaku di Bukit Timah pada petang 29 Disember, menyusuli hujan lebat di merata Singapura.
Dalam hantaran di aplikasi media sosial X pada sekitar 5.10 petang, agensi air Singapura PUB mengatakan bahawa banjir kilat berlaku di sepanjang Dunearn Road dan Bukit Timah Road, berhampiran King Albert Park. Banjir tersebut reda sekitar 5.22 petang, menurut PUB dalam hantaran berasingan.
Agensi tersebut kemudian berkata dalam satu hantaran Facebook bahawa pasukan tindak balas cepat telah dikerahkan di lokasi untuk membantu orang ramai dengan menutup lorong jalan raya yang terjejas dan mengalihkan kenderaan dari kawasan yang ditenggelami air.
Ia menambah bahawa kawasan Bukit Timah terdedah kepada banjir, dan kerja pembaikan saliran telah dijalankan di sepanjang longkang besar Bukit Timah dan Longkang besar Lencongan Pertama Bukit Timah sepanjang dekad yang lalu.
Terdapat juga kerja-kerja yang sedang dijalankan untuk meluaskan dan mendalamkan sepanjang 900 meter Terusan Bukit Timah, dari Rifle Range Road ke Jalan Kampong Chantek, sebagai langkah jangka panjang untuk meningkatkan perlindungan banjir di kawasan itu, dan ini akan siap menjelang 2026, kata PUB.
Hujan paling lebat pada 29 Disember ialah 134.6 milimeter, yang dirakamkan di kawasan tengah Singapura dari 3.15 petang hingga 5.25 petang.
“Jumlah ini bersamaan dengan 41 peratus daripada purata hujan bulanan Singapura pada Disember dan berada dalam lingkungan satu peratus tertinggi daripada rekod hujan harian maksimum sejak 1978,” kongsi PUB.
Pada 4.51 petang, 29 Disember, ia berkata dalam satu hantaran X bahawa hujan lebat boleh dijangka selama sejam lagi.
PUB telah mengeluarkan amaran risiko banjir di beberapa kawasan di merata Singapura, termasuk Choa Chu Kang, Toa Payoh, Bukit Timah dan di bandar.
Dalam satu hantaran X pada 4.39 petang, PUB menasihatkan orang ramai supaya mengelak Choa Chu Kang Avenue 1 (ke arah Choa Chu Kang Way, Choa Chu Kang Drive dan Teck Whye Lane) selama sejam.
Dalam hantaran kurang lima minit kemudian, mereka turut menyenaraikan Lorong Gambir, simpang Toa Payoh Lorong 1 dan Toa Payoh Lorong 2, Eng Kong Place dan simpang Lorong Kismis, dan Toh Tuck Rise sebagai kawasan yang perlu dielakkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg