Singapura dijangka mengalami cuaca lebih kering secara umum semasa musim perayaan Krismas dan Tahun Baru 2025, walaupun hujan diramal berterusan sepanjang minggu ini.
Menurut satu kenyataan Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam makluman dua minggunya yang dikeluarkan pada 16 Disember, hujan petir dijangka melanda beberapa kawasan Singapura pada waktu petang beberapa hari sepanjang minggu ini.
Hujan dijangka reda pada minggu terakhir 2024 walaupun mungkin terdapat beberapa hari berangin dengan hujan singkat, disebabkan tiupan angin lebih kuat dan kencang dari arah utara buat waktu singkat pada minggu tersebut, lapor The Straits Times (ST).
“Secara keseluruhan, jumlah hujan bagi separuh kedua Disember 2024 diramal berada di bawah purata di kebanyakan kawasan pulau ini,” kata MSS.
Suhu maksimum harian dalam tempoh dua minggu akan datang mungkin berada antara 32 dengan 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari, walaupun suhu mungkin tinggi sedikit daripada 34 darjah Celsius pada waktu petang untuk beberapa hari.
Mengimbas kembali separuh pertama Disember, terdapat beberapa hari apabila suhu maksimum harian mencecah sekurang-kurangnya 34 darjah Celsius.
Suhu harian tertinggi 36.2 darjah Celsius dalam tempoh itu dicatat di Paya Lebar pada 7 Disember – paras tertinggi baru bagi Disember.
Rekod sebelumnya bagi Disember ialah 35.9 darjah Celsius, dicatat di Seletar pada 6 Disember 2016.
Keadaan monsun timur laut melanda Singapura dan kawasan sekitarnya pada separuh pertama Disember, dengan angin paras rendah bertiup terutamanya dari arah barat laut atau timur laut pada kebanyakan hari.
Hujan petir melanda beberapa kawasan di Singapura pada waktu petang selama beberapa hari, dan beberapa kali, berterusan hingga ke malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg